Malaysia Dateline

Berjoging ‘disapa’ tangisan bayi berjemur di tokong

Petang yang nyaman di tengah bendang dekat Kampung Hilir Kubang Rotan, Alor Setar, larian Mohd Hanif Zaini, 29, diganggu bunyi mencurigakan.

Mulanya disangka suara anak kucing, anak muda itu terkejut apabila menjumpai seorang bayi perempuan berbalut kain batik yang menangis.

Bayi yang terkena panas matahari itu ditinggalkan di sebuah tokong di kampung itu.

Ketika itu, Hanif sedang berjoging sendirian berhampiran kawasan bendang di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah kira-kira jam 4.35 petang semalam.

“Tiba-tiba saya terdengar seperti suara anak kucing. Mulanya saya ingat orang sengaja mengusik sebab bunyinya sekejap ada, sekejap hilang.

“Tak lama kemudian, saya saya dengar bunyi tangisan lagi. Saya nampak ada beg galas ungu atas bangku di sebuah kuil dan menemui bayi perempuan dibalut kain batik sedang menangis.

“Melihat keadaan bayi itu terkena panas matahari, mengalir air mata saya kerana kasihan melihatnya,” lapor BH.

Hanif yang bekerja sendiri, berkata bayi perempuan itu dipercayai baru dilahirkan berdasarkan kesan darah pada badannya selain tali pusat belum dipotong.

Beliau terus menghubungi isterinya supaya membawa kereta ke tempat bayi itu ditemui dan membawanya pulang untuk dibersihkan sebelum kakaknya menghubungi pihak polis.

Hanif menunjukkan lokasi bayi malang itu ditinggalkan di tokong tepi bendang di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah petang semalam.

Katanya, pihak polis tiba tidak lama selepas itu bersama ambulans dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan laporan berhubung penemuan bayi itu dan bilik gerakan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat pada jam 5.20 petang tadi.

Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon dari seorang wanita mengenai penemuan bayi perempuan yang masih bertali pusat di kawasan Kampung Hilir, Kubang Rotan, di sini.

“Kita sudah mengambil keterangan pengadu dan saksi untuk membantu siasatan.

“Bayi perempuan itu dihantar ke HSB untuk menjalani pemeriksaan dan siasatan sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Bayi perempuan ditemui di bangku dalam kawasan tokong di tepi sawah ini.