Malaysia Dateline

Berjuang demi laporan berita menyebelahi rakyat

Hari ini adalah Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, yang kita sambut selepas laporan ‘kepala lutut’ wartawan Astro Awani disiasat oleh polis.

Hari paling bermakna ini juga tiba ketika kita beroleh khabar di sana ada rakan dan sahabat yang tidak sempat menatap wajah orang tuanya buat kali yang terakhir kerana dilarang untuk merentas negeri.

Namun di ketika yang sama juga para VVIP dan orang-orang agama dibenarkan rentas negeri untuk majlis tahnik anak selebriti tersohor.

Berita duka lara ini berlaku ketika kita susah dan sedang bergelut untuk hidup. Namun, ketika ada wartawan pemberani yang menongkah arus pemberitaan dengan mempersoal ketidakadilan yang berlaku, ianya seakan ancaman yang seolah-olahnya tidak mahu kesusahan rakyat ini diperjuangkan oleh siapa pun.

Segala kata-kata ditanggap sebagai simbol untuk menentang pihak yang menguatkuasa undang-undang, walhal yang dipersoal hanyalah ketidakadilan pihak berkuasa.

Adakah masih bersisa kebebasan akhbar di negara ini? Atau hanya ‘bebas’ seandainya selari dengan apa yang diinginkan pemerintah dan ‘tidak bebas’ jika sebaliknya?

Atau dikatakan ‘benar-benar bebas’ jika memuji menteri walaupun tak reti dan tak diketahui sedang buat kerja apa?

Ini adalah persoalan yang perlu dijawab demi masa depan demokrasi dan kebebasan akhbar yang semakin kelam.

Ketika satu dunia sedang meraikan kebebasan akhbar, malangnya kita masih bergelut untuk berjuang demi laporan pemberitaan yang merakyat dan menyebelahi rakyat.

Belasungkawa, di Hari Kebebasan Akhbar Sedunia!

*SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Pemuda AMANAH Nasional.