Malaysia Dateline

Berkawan dengan siapa sahaja termasuk Umno, prinsip perjuangan kekal

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan sedia berkawan dengan siapa sahaja termasuk Umno dengan syarat prinsip perjuangan yang ditetapkan oleh PKR sebelum ini kekal.

“Siapa hendak berkawan kita kawan, walau pun Umno sekalipun kita akan berbincang. Namun begitu prinsip perjuangan kita harus kekal dengan berusaha sedaya upaya sehinggakan mampu untuk membawa perubahan kearah kebaikan,” jelas Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Berucap dalam majlis high-tea di di Taman Guar Perahu, Permatang Pauh petang semalam Anwar berkata, politik haprak tidak harus diamalkan dalam negara ini dan ia harus segera berakhir.

“Dalam lain ertikata yang makruf itu tetap makruf dan yang munkar itu tetap munkar dan bukan sebaliknya,” kata beliau dalam kawasan parlimen yang diwakili anaknya Nurul Izzah Anwar.

Sebelum ini, Anwar berkata, beliau akan memujuk Nurul dan seorang lagi bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli agar kembali aktif dalam parti itu.

Menurut Anwar, mana-mana kerajaan sekalipun harus memupuk sikap tanggungjawab dan beramanah serta menolak rasuah kerana apabila rasuah meningkat maka orang kaya akan menjadi lebih kaya, manakala yang miskin akan terus berada dalam kemiskinan.

Jelas beliau lagi, tatakelola memerintah haruslah baik kerana pemerintah sewajarnya mempunyai akhlak, budi pekerti yang baik serta memberi manfaat kepada mereka yang berada di bawah.

“Wakil rakyat kerjanya bukan untuk kayakan anak pinak dan juga bukannya mengambil hak orang lain serta mereka yang mempunyai sikap demikian seharusnya tidak diberi sokongan.

“Manakala wakil rakyat yang khianat dan suka lompat-melompat ini adalah mereka yang tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kental sehinggakan sanggup meninggalkan parti hanya kerana siasatan oleh beberapa pihak termasuk SPRM,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada beberapa ahli parlimen partinya yang melompat parti.

Tambah Anwar, wakil rakyat harus sedar mereka bukan diberi mandat untuk melingkupkan apa yang telah sedia ada dan bukan juga untuk mengumpul harta, sebaliknya harus menjadikan sejarah perjuangan sebagai benteng pertahanan.

Dalam majlis tersebut Presiden PKR itu melancarkan Briged Biru Muda yang bakal menjadi pasukan bantuan dan seliaan untuk parti itu.