Malaysia Dateline

‘Berkawan lama dengan ulama parti ana pun tak berjaya ubah apa-apa’

Kehadiran Najib Razak di Batu Caves sempena Thaipusam semalam dilihat mengundang reaksi orang ramai dengan rata-ratanya menganggap bekas Perdana Menteri tidak wajar berbuat demikian.

Dalam masa sama, terdapat juga penyokong Najib yang beragama Islam menyebelahi tindakan Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib dalam hantaran di Facebook rasminya memberitahu beliau akan cuba memenuhi undangan komuniti beragama Hindu itu setiap kali sambutan Thaipusam.

“Setiap tahun saya akan cuba meluangkan sedikit masa ke Batu Caves, memenuhi jemputan pemimpin-pemimpin masyarakat India,” katanya.

Semalam, Najib yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, meluangkan masa menyaksikan perayaan Thaipusam di Batu Caves dengan berpakaian tradisional India, kurta.

Walau bagaimanapun, ramai warganet tidak bersetuju bahkan sedih melihat tindakan Najib yang telah melakukan hal sama sejak beberapa tahun lalu.

“Amat sedih apabila melihat pemimpin Islam menyambut hari keagamaan kaum lain. Cukuplah wakilkan pada MIC ataupun apa-apa parti yang berkaitan dengan kaum India.

“Tidak perlu pun DSN (Datuk Seri Najib) terlibat didalamnya. Allahul mustaan (Hanya Allah yang dimohon pertolongan-Nya),” luah Huzaifah Hadis.

Pendapat sama turut dibangkitkan Nour Al-Haq Shahrir yang berkata, “Akidah tidak boleh digadai untuk meraih populariti. Sekadar teguran ikhlas daripada saya.”

Bukan sedikit netizen juga yang mengingatkan hukum penglibatan orang Islam dalam perayaan yang berkaitan keagamaan yang berbeza dengan perayaan yang hanya berunsurkan budaya.

“Apa hukum agama seorang Islam meraikan upacara keagamaan agama lain? Politik, politik jugak oi. Jangan lupa agama kita ya,” tegas Harun Baba.

Malah, ada pengguna Facebook yang berpendapat tiada hasil pun berbaik dengan Pas selain menganggap kecaman tentunya lebih dahsyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang berbuat demikian.

“Berkawan lama dengan ulama parti ana pun tak berjaya ubah apa-apa,” sindir Ana Tahu manakala Mohd Shairul Arif pula menulis, “Kalau DSAI pakai macam ini dah berbakul-bakul kena maki.”