Berkebun di belakang rumah menjadi aktiviti popular semasa PKP

Oleh BORHAN AHMAD

Sejak musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di negara ini, ramai rakyat negara ini mula berkebun di rumah bagi memenuhi masa mereka.

Menanam sawi dalam bekas minuman juga diusahakan orang ramai semasa musim PKP sekarang. Petani Indonesia banyak mengajar kita cara-cara bertani di dalam bandar. Lihat Youtube cara menanam sayuran di rumah ini.

Sejak itu, bermacam-macam jenis tanaman di belakang rumah dipaparkan di laman sosial khasnya Facebook oleh penduduk bandar terutamanya.

Kebanyakannya adalah sayur-sayuran yang mudah ditanam di dalam pasu atau polibag kerana ruang yang sempit dan tidak mempunyai tanah lapang.

Cili, terung, bendi, kangkung, sawi dan kobis antara tanaman utama yang diusahakan oleh orang ramai semasa PKP apabila mereka tidak boleh keluar rumah atau mempunyai masa lapang yang banyak kerana bekerja dari rumah.

Panduan untuk menanam juga sangat mudah sekarang kerana pelbagai video tutorial menanam pelbagai jenis pokok boleh didapati di Facebook dan juga Youtube.

Anak benih, tanah, baja dan pelbagai kelengkapan tanaman juga boleh didapati dengan mudah di pasar-pasar online.

“Saya mula mengusahakan kebun ini sejak enam bulan lalu. Itupun secara tidak sengaja selepas saya membuang biji Rozel ini ke dalam pasu dan tumbuh.

“Sejak itu, saya mula tanam Rozel, kemudian bendi, cili, kangkung dan sekarang saya mencuba tanam sawi dalam bekas minuman pula,” kata seorang pekebun belakang rumah menerusi Facebook beliau.

Jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas di ibu negara juga dijadikan sebab untuk berkebun di perkarangan rumah masing-masing.

“Cemas juga melihat angka jangkitan Covid di Selangor menjadi 4400 orang, menjadikan angka tertinggi jangkitan sehingga hari ini di Malaysia menjadi 9180 orang.

Pokok Tin yang ditanam Puan Zaiton mula berbuah.

“Jomlah kita redakan dengan melihat hasil tanaman di halaman rumah. Buah bidara semakin membesar, buah tin menanti masak, cili dan limau kasturi mula memutik. Kobis dan terung menanti masa untuk dipetik.

“Durian sahaja yang tak ada di halaman. Semoga Allah memelihara kita semua,” tulis bekas petugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Zaiton Abu Samah menerusi Facebook beliau.

Menanam buah Tin yang berasal dari Timur Tengah juga menjadi trend sekarang ini sebagaimana yang dilakukan oleh Zaiton.

Ramai yang menanam pokok yang namanya di sebut beberapa kali oleh Allah dalam Al Quran itu.

Bagi berkongsi pengalaman bersama juga, ada kumpulan Kebun Belakang Rumah dibina dalam laman Facebook.

Pisang, jambu, labu, tembikai juga ditanam di belakang rumah sahaja sekarang.

Kebanyakannya bercambah ketika orang ramai terpaksa duduk di rumah.

“Duduk di rumah tanpa berbuat sesuatu, asyik tengok tv, handphone dan dinding saja boleh terjun bangunan aku,” kata Mohd Sobri yang bertanam labu di belakang rumahnya melalui kumpulan Kebun Belakang Rumah itu.

Bagi Sabri Mohamad, berkawan dengan pokok dan tanaman kadang-kadang lebih baik dari berkawan dengan manusia.

“Hasil bersahabat dgn tanah..Tidak pernah mengecewakan..
Tak pernah kena ‘KENCING’..” tulis beliau dalam Facebook sambil menunjukkan hasil hasil kacang tanah yang diusahakan beliau.

Sabri menunjukkan kacang tanah yang dihasilkan kebun beliau semasa musim PKP.

Bekas petugas sebuah bank ini yang pernah terkena Covid-19 dan berehat di wad beberapa hari mula mengusahakan kebun secara aktif di belakang rumahnya selepas sembuh dari sakit itu.

Selain tanaman di atas tanah, pasu dan polibag, tanaman secara hidroponik juga menjadi pilihan penduduk bandar kerana kawasan yang sempit.

Ekoran itu harga barangan untuk tanaman secara hidroponik mendapat permintaan yang tinggi.

“Semuanya saya order online je. Alatan, baja, tanah hatta tahi lembu pun ada kat pasar online ni. Apa yang takda kat Lazada dan Shoppe ni, emak dengan ayah je takda,” kata seorang pengusaha kebun hidroponik di belakang rumah.