Berkecuali tapi usah berdiam diri

Berkecuali tapi usah berdiam diri

Dalam era Malaysia Baharu ini, dasar berkecuali Malaysia terhadap konflik antarabangsa telah beberapa kali ditegaskan oleh para anggota kabinet. Bermula daripada kenyataan Perdana Menteri sendiri tentang hasrat Malaysia berdagang dengan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat dan China yang sedang ‘berperang’ dagang, seawal hari kedua PH mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Pendirian ini disahut pula Menteri Pertahanan yang menegaskan sikap neutral Malaysia dalam perebutan wilayah di Laut Cina Selatan dan Malaysia tidak akan terlibat dengan mana-mana konflik negara jiran. Menteri Luar pula menegaskan Malaysia kekal dengan dasar luar yang bebas, berprinsip dan pragmatik.

Keputusan Malaysia menarik balik tentera Malaysia daripada pakatan tentera bersekutu Liga Arab pimpinan Arab Saudi di wilayah bergolak di Yaman merupakan satu keputusan tepat yang selari dengan sikap berkecuali diamalkan Malaysia. Pemerhati hak asasi antarabangsa turut mengalu-alukan langkah Malaysia yang tidak tunduk kepada tekanan China dengan membebaskan 11 pencari suaka etnik Uighur yang ditahan di sini bagi mendapatkan perlindungan di Turki, selain penentangan konsisten Malaysia kepada penindasan Myanmar terhadap penduduk wilayah Rakhine.

Namun demikian, sikap berkecuali ini jangan pula disamakan dengan berdiam diri membiarkan konflik antarabangsa berlarutan tanpa sebarang pendirian tegas mahupun tindakan tuntas menolak kekejaman ke atas rakyat awam yang menjadi mangsa peperangan, terutamanya di rantau Asia Barat. Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik antarabangsa ini, Malaysia perlu memposisikan peranan berkesan sebagai orang tengah mempromosikan keamanan tanpa memihak kepada mana-mana kuasa dunia.

Masyarakat antarabangsa khususnya dari dunia Islam pastinya tertunggu-tunggu langkah proaktif Malaysia susulan pendirian lantang Perdana Menteri di pentas Perhimpunan Agung PBB pada September lalu. Antara lain, beliau tanpa gentar telah menegur sikap masyarakat dunia terhadap konflik berdarah Palestin-Israel yang berlarutan sekian lama, selain tindakan Myanmar yang enggan menawarkan penyelesaian dalam gerakan penghapusan etnik di wilayah Rakhine.

Tidak cukup sekadar menyatakan pendirian berkecuali tanpa disusuli tindakan konkrit ke arah menyeru masyarakat antarabangsa segera menghentikan kemelut berdarah di Myanmar, Palestin, Syria, Yaman dan lain-lain. Malaysia Baharu, atas dasar kemanusiaan sejagat harus dilihat tegas dengan tidak membiarkan kemelut berdarah di wilayah-wilayah bergolak terus meruncing tanpa pembelaan masyarakat antarabangsa.

Malaysia wajar menyatakan pendirian tegas melalui saluran politik dan diplomatik mengutuk kekerasan tanpa menyebelahi mana-mana pihak secara lantang dan menawarkan diri menjadi orang tengah di meja rundingan. Sudah tiba masanya Malaysia menggesa satu gencatan senjata dimeterai segera dan menghentikan segala bentuk keganasan oleh semua pihak bertelagah di negara-negara Yaman, Syria dan Palestin misalnya. Malaysia juga harus mengetuai usaha mengemukakan dan menyokong sebarang resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk segera mengembalikan keamanan di rantau Asia Barat.

Konflik di Syria misalnya menyaksikan persidangan empat mata Turki, Rusia, Perancis dan Jerman tajaan Ankara bulan lalu (ironinya tanpa penglibatan mana-mana pihak bertelagah dari Syria) berakhir tanpa sebarang penyelesaian ampuh. Lalu perang saudara yang menjangkau tujuh tahun itu dijangka berterusan, sedang jutaan pelariannya masih tinggal di kem-kem pelarian seluruh dunia dan 36,000 nyawa melayang, manakala ratusan ribu lagi terperangkap dalam zon peperangan dalam negara.
Tidak cukup sekadar menghulurkan bantuan kemanusiaan makanan dan ubat-ubatan melalui NGO-NGO dan badan sukarela, kerajaan Malaysia dengan posisinya sebagai negara anggota OIC wajar memainkan peranan lebih proaktif mendesak keamanan, demokrasi dan rule of law dikembalikan di Syria.

Krisis kemanusiaan di Yaman pula semakin memuncak akibat perang saudara yang berlarutan sejak 2015 dan campur tangan pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi serta rakan-rakan sekutunya dari Liga Arab. Sehingga 4 November 2018, PBB menganggarkan kira-kira 10,000 rakyat Yaman telah terbunuh dan lebih 3 juta yang lain hilang tempat tinggal atau menjadi pelarian.

Dalam perang saudara yang memasuki tahun keempat itu, masyarakat dunia terutamanya dunia Islam termasuk Malaysia dilihat seakan-akan berpeluk tubuh mendiamkan diri atau terlalu lunak dengan Arab Saudi sedangkan krisis ini semakin meruncing, dijangka mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah kemanusiaan. Malah negara-negara bukan Islam seperti Korea Selatan dan Kesatuan Eropah terlihat lebih lantang dalam mendesak satu gencatan senjata dipersetujui segera. Yaman kini disahkan berdepan krisis kebuluran dan wabak kolera yang terburuk, di saat pakatan pimpinan Arab Saudi, atas nama ‘memerangi keganasan’, meneruskan pembantaian kanak-kanak, wanita dan warga tua yang tidak berdosa.

Dalam konteks ini, Malaysia perlu mendesak Arab Saudi dan semua pihak bertelagah kembali ke meja rundingan dan mencapai kata sepakat untuk menghentikan peperangan, setelah rundingan sama tajaan PBB gagal mencapai sebarang persetujuan pada September lalu, selain menggesa Arab Saudi dan sekutunya menarik balik semua kekuatan ketenteraan dari Yaman dengan segera. Arab Saudi dan rakan-rakannya wajib bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa mengembalikan demokrasi di Yaman.

Perkara ini sewajarnya menjadi antara topik utama perbincangan antara Perdana Menteri dan Menteri Luar Arab Saudi yang berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini. Peranan sama juga perlu diambil Malaysia dalam krisis di wilayah Rakhine dan Palestin. Malah peranan sebagai orang tengah ini bukanlah perkara baharu bagi Malaysia yang sebelum ini berjaya membantu pihak-pihak bertelagah mencapai kata sepakat di selatan Filipina, dan kini memainkan peranan sama ke arah mencapai keamanan di wilayah selatan Thailand.

Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri harus mengembalikan reputasinya sebagai suara yang disegani dunia Islam suatu ketika dahulu. Bukan sahaja kembali sebagai ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi tetapi juga muncul sebagai ‘Harimau Dunia Islam’ yang mendukung keamanan sejagat, keharmonian dan toleransi selain menolak sebarang bentuk peperangan, keganasan, kekerasan dan penindasan atas apa jua alasan, di samping menggembleng semula kekuatan OIC untuk keamanan dunia Islam sejagat.

Hal ini penting kerana Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan (trading nation) mempunyai kepentingan dan vested interest dalam keamanan dunia dan kestabilan geopolitik, ke arah menjamin ekonomi yang lebih mapan lebih-lebih lagi di saat Malaysia harus memulihkan kesan negatif ekonomi tinggalan rejim kleptokrat terdahulu.

COMMENTS