Malaysia Dateline

Berkeras mahu darurat, Armada seharusnya matang berpolitik

Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan, Chiong Yoke Kong membidas kenyataan Armada yang menegaskan bahawa pengisytiharan darurat sebagai satu-satunya langkah selamat untuk mengelakkan pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Batu Sapi diadakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata itu turut mempersoalkan sikap Bersatu yang begitu terdesak sehingga mahu pengisytiharan darurat dilakukan hanya kerana tidak mahu menyerahkan kerusi Batu Sapi kepada Warisan.

Sedangkan katanya, beberapa parti dari komponen Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang telah pun mengumumkan tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini.

“Kenapa Bersatu tidak ingin memberi laluan kepada Warisan demi kebaikan dan kepentingan rakyat dalam waktu ini?

“Saya ingin mengingatkan Mohamad Siddiq bahawa Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) telah mengumumkan tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini.

“Sekiranya parti-parti utama dalam negeri tersebut sudi memberi laluan kepada Warisan, tentulah boleh mengurangkan kempen-kempen yang berkemungkinan besar mencemaskan lagi wabak Covid-19,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Biro Perundangan ARMADA, Mohamad Siddiq Mohamad Azani dikatakan membantah keputusan parti-parti di Sabah yang memutuskan untuk memberi laluan kerusi Parlimen Batu Sapi kepada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mohamad Siddiq berkata, cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan agar semua parti memberi laluan kepada Warisan mengekalkan kerusi tersebut sebagai tidak munasabah.

Beliau juga memberi alasan bahawa sekalipun BN atau PN tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi, ia tidak menghalang calon-calon bebas dan parti-parti tempatan lain yang ada di Sabah untuk meletakkan calon mereka.

Justeru katanya, pengisytiharan darurat adalah langkah selamat mengelakkan PRK di negeri itu.

Sementara itu, Chiong berkata, kenyataan Armada tersebut membuktikan Bersatu sebuah parti yang gila kuasa, sanggup berpolitik bila-bila masa dan menjadikan rakyat sebagai landasan untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata.

Beliau juga menasihatkan Bersatu dan Armada supaya mempamerkan kematangan politik dan berhenti bermain politik ketika negara masih lagi diselubungi wabak Covid-19.

“Saya juga menyeru kerajaan PN supaya bekerjasama dengan semua parti politik bagi membentuk satu belanjawan perpaduan sebagai usaha memikirkan penyelesaian terbaik bagi mensejahterakan rakyat khususnya dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya lagi.