Malaysia Dateline

Berkopiah logo Pas, Nasrudin ‘lupa’ YADIM bukan milik parti?

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nasrudin Hassan dilihat mungkin lupa agensi Islam itu masih di bawah kerajaan Persekutuan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkenaan hadir dalam satu program di sebuah masjid di Perak semalam dengan memakai kopiah tertera logo partinya.

Program YADIM Peduli itu juga dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Nasrudin yang dilantik sebagai Yang Dipertua YADIM ke-14 menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz bermula 16 Julai lalu itu juga beramah mesra dengan penduduk kampung dengan mengenakan kopiah berlogo Pas.

“YADIM Peduli meneruskan program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah Covid-19 di Masjid Fadhlullah Bota Perak.

“Lebih kurang 20 buah kampung dari qaryah tersebut mendapat sumbangan asnaf daripada YADIM,” kata bekas Ahli Parlimen Temerloh itu.

Nasrudin turut mendakwa warga emas di Lambor Kanan, Perak yang ditemuinya sempena program YADIM Peduli di sana cepat mesra.

“Alhamdulillah, walaupun baru kenal, mereka cepat mesra. Semoga silaturrahim terus erat dan berpanjangan,” katanya lagi.

Nasrudin selamba memakai kopiah berlogo Pas dalam program YADIM di Perak semalam.