Berkorbanlah sedikit: Bersama bina semula negara

Hampir  11 bulan ini kita sering mendengar jeritan ‘pencuri’. Jeritan ‘pencuri’itu bukan sahaja didengar di tengah malam, malah hampir setiap masa ketika manusia terjaga.

Ia juga didengari di pelbagai media – cetak dan elektronik – juga kerap diulang-ulang di laman komen media sosial. Kisah pencuri menjerit pencuri ini bukan hanya kisah penglipur lara. Ia kisah penuh pengajaran.

Kisahnya begini. Si pencuri baharu lepas mencuri di sebuah rumah pendudukkampung. Nasibnya tidak berapa baik kerana sebaik keluar daripada rumah mangsa, dua tiga orang penduduk kampung yang kebetulan lalu di hadapan rumah yang dimasukinya terlihat kelibat si pencuri.

Maka bertempiaranlah si pencuri melarikan diri sambil dikejar orang kampung.Pencuri semakin lelah dikejar.Otak kepalanya berputar ligat memikirkan muslihat untuk melepaskan diri. Setibanya di tengah-tengah kampung, maka si pencuri pun berdiri di suatu tempat yang tinggi sambil berteriak, “Pencuri, pencuri!” sambil menunjuk ke suatu arah .Kumpulan orang kampung yang mengejar si pencuri pun, tanpa berfikir panjang meluru ke arah lorong yang ditunjuk si pencuri. Maka si pencuri akhirnya tersenyum sendiri kerana berjaya memperdayakan orang kampung sehingga dirinya bebas dari buruan.

Begitulah analogi pentas politik kita hari ini pasca PRU ke-14. Pakatan Harapan (PH) yang baharu 11 bulan memerintah negara kini berhadapan dengan kempen lawan politiknya yang pintar memainkan sentimen rakyat.

Berbekalkan kewangan negara yang teruk (peninggalan bekas kerajaan BN) dan keadaan ekonomi dunia yang merudum, PH dilihat menghadapi hakisan sokongan popular rakyat apabila kegagalannya menunaikan sebahagian janji pilihan raya diangkat menjadi isu utama.

Tiada siapa yang peduli tentang hutang lebih RM1 trilion negara juga hutang menggunung projek-projek mega tinggalan pentadbiran Najib yang meletakkan ekonomi negara dalam keadaan sukar.

Kebejatan urus tadbir pentadbiran BN juga menambah parah keadaan. Sebagai contoh Felda yang dahulunya mempunyai rizab RM8 bilion tapi kini terpaksa menanggung hutang lebih RM9 bilion! Dalam keadaan teruk menanggung hutang itu, para peneroka Felda merintih mendakwa kehidupan mereka merosot akibat kejatuhan harga komoditi dan bantuan sara hidup mereka lambat dilunaskan.

Dan yang terpaksa menanggung semua ini adalah PH yang baharu mengambil alih pentadbiran negara.

Tanggal 25 Mac lalu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di Serdang menyeru semua penjawat
awam supaya ‘mengikat perut’ buat sementara waktu bagi memberi peluang kepada kerajaan PH mengatasi masalah hutang negara yang dicipta oleh kerajaan BN terdahulu.

“Tuan-tuan, saya harap kita boleh bersabar.Hari ini pun telah kita berjaya kurangkan hutang. Tapi untuk hapuskan hutang sebanyak RM1 trillion, hutang sebegini banyak bukanlah mudah.

“Seluruh anggota kerajaan perlu ‘ikat perut’ sedikit supaya kita boleh bayar hutang. Lepas hutang langsai, barulah kita boleh belanja,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, hutang menggunung kerajaan BN sebelum ini begitu menyukarkan keadaan kewangan negara sehingga banyak rancangan untuk mengurangkan beban hidup rakyat terpaksa dibatalkan dan belanja pembangunan perlu dikurangkan.

Beliau menambah, usaha mengurangkan hutang negara akhirnya akan memberi kebaikan kepada rakyat. Malah beliau yakin ekonomi negara dapat diperbaiki dalam masa tiga tahun.

Sehubungan itu perdana menteri menyeru rakyat khususnya kakitangan kerajaan dapat bersabar dan bekerjasama dalam memulihkan keadaan ekonomi negara.

“Saya merayu rakan-rakan dalam Cuepacs supaya bersabar sementara kita nak pulihkan kewangan negara.

“Walaupun kita bermasalah, tak sampai peringkat kebuluran. Kita sebuah negara aman, boleh pulih dengan lebih cepat,” ujarnya lagi.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH), jelas beliau telah menyusun pelbagai perancangan untuk mengatasi masalah kewangan negara dan rakyat harus bersabar serta bekerjasama untuk memulihkan semula keadaan.

Menurutnya, sebahagian pendapatan negara kini terpaksa digunakan untuk membayar hutang negara, menyebabkan perhatian kerajaan terhadap soal pembangunan negara berkurangan.

“Saya harap kita boleh bersabar, kalau kita bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram maka kita dapat pulihkan kewangan negara kita dan pembangunan negara kita.

“Untuk menghapuskan hutang RM1 trilion bukanlah mudah, seluruh rakyat termasuk anggota kerajaan perlu ikat perut sedikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan membayar hutang,” katanya.

“Insya-Allah, kita akan dapat jelaskan hutang-hutang kita dan selepas jelaskan hutang-hutang ini maka pendapatan kerajaan akan meningkat dan boleh digunakan untuk bantu sara hidup rakyat khususnya mereka yang bekerja dengan kerajaan,” katanya lagi.

Oleh itu perlulah difahami umum bahawa fokus kerajaan PH kini adalah menangani masalah hutang negara. Setelah masalah hutang ini diatasi dan kewangan negara kembali stabil, barulah tumpuan diberi kepada usaha meringankan beban hidup rakyat.

Sebut sahajalah apa juga janji manifesto PH, daripada mengurangkan harga minyak, menghapuskan tol sehinggalah menjadualkan pembayaran semula PTPTN; ia memerlukan komitmen kewangan yang tinggi dan semua ini tidak dapat dilaksanakan jika negara terbeban dengan hutang yang tinggi.

Masalah yang ditanggung kerajaan ini perlu difahami rakyat dan tanggung jawab pemimpin kerajaan adalah menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat.

Janganlah terperangkap dengan sikap tidak bertanggung jawab pemimpin BN yang mahu pemimpin kerajaan sekarang tidak hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.

Pemimpin pembangkang sekarang perlu dipertanggungjawabkan dengan musibah yang melanda negara sekarang. Jangan mudah ‘melempar batu dan sembunyi tangan’ seolah-olah masalah kewangan yang menimpa negara kini tiada kena mengena dengan mereka.

Dalam usaha membangunkan negara dan melaksanakan program-program untuk kesejahteraan hidup rakyat, kebejatan 10 tahun pentadbiran Najib yang meletakkan negara ke jurang kemusnahan perlu dijelaskan kepada rakyat.

Di masa yang sama, rakyat perlu bersama kerajaan melakukan perubahan. Tempoh tiga tahun yang mencabar ini perlu dihadapi bersama bagi memastikan negara terus membangun dan usaha meringankan beban hidup rakyat akhirnya terlaksana.

Usaha membina semula negara bukanlah tugas yang hanya terpikul pada bahu kerajaan. Ia juga menuntut kefahaman, pengorbanan dan sokongan rakyat.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersama kita bina semula negara!