Malaysia Dateline

“Berkurung” digital

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat supaya patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan.

Baginda bertitah, semua rakyat perlu berada di rumah dan membatalkan hasrat untuk pulang ke kampung, jika tiada keperluan.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ingin mengajak supaya rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Bahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia supaya berada di rumah dan meluangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan diharap orang ramai lebih akur dengan arahan itu bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini yang bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, ia adalah suatu bentuk pelakuan pemaksaan yang melekatnya unsur-unsur yang dikaitkan dengan kurungan terbatas, walaupun ia dilakukan demi kesejahteraan rakyat supaya penularan dapat dikawal.

Kita tidak mungkin menyebutkan sebagai kurungan raga sebab ia bertujuan demi kebaikan tetapi ia juga adalah kurungan jiwa (kebebasan nafsu), tidak hanya kurungan fizikal akan tetapi kurungan simbolik. Ia juga tidak hanya kurungan benda (seperti pembelian panik dan stok makanan) akan tetapi juga kurungan tanda, tidak hanya kurungan mekanikal akan tetapi kurungan atau lockdown digital.

Istilah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan itu sendiri adalah bentuk pengurungan yang halus dan tidak kelihatan dengan hanya menyembunyikan tempat mekanisme bergantung. Ini amat terkesan kepada mereka contohnya dalam industri pelancongan, makanan, pendidikan, pengangkutan dan kawalan sosial juga.

Konsep berkurung simbolik adalah realiti baharu yang dialami rakyat negara ini kerana ia menggiring kita ke arah mekanisme sosial virtual, berkurung di rumah selama 14 hari yang di dalam hubungan komunikasi (dalam talian) saling bertautan dengan hubungan kekuasaan (kerajaan paling berkuasa sekarang).

Pada waktu sekarang kerajaan PN adalah yang paling berkuasa dalam situasi berkurung. Segala keputusan hanya akan datang dari atas. Ini kerana di tangan PN juga terletaknya hala tuju kesihatan negara. Sejauh manakah berkesannya jentera kerajaan dan sejauh manakah penguatkuasaannya berjalan?

Berdoa, sabar, ikut arahan dan perintah, buat saringan, pakai topeng, jangan bersalam, tiada solat Jumaat dan tutup rumah ibadat atau masjid bagi umat Islam, tutup instituisi perniagaan, sosial dan pendidikan, kiraan angka mangsa adalah tanda-tanda yang mengandungi makna lockdown. Perkataan-perkataan ini adalah pengwajahan atau citra muram, suram bahkan kengerian.

Berkurung digital berlangsung dalam bentuk citra, tontonan (kekosongan rak makanan, beratur membayar, beratur di balai polis untuk mengambil borang, banyak kedai ditutup, kerumunan orang awam di TBS umpamanya), gambar (bertopeng panik) tetapi melahirkan produk-produk komoditi dengan pembelian produk dan perkhidmatan atas talian.

Berkurung digital adalah berkurung dalam dunia siber, kita dibataskan dalam hubungan bersemuka, hubungan virtual yang membawa kita berkurung dalam citra media sosial terutamanya Whatsapp, FB, Twitter, IG dan Telegram. Jumlah masa berkurung digital kita akan bertambah.

Berkurung digital sebagai contohnya menonton ceramah video ulamak yang mengatakan jangan takut kepada Covid-19 tetapi takutkan Allah. Ia juga berbalah tentang penutupan masjid kerana bagi mereka tunduk kepada Covid-19 daripada tunduk kepada Allah. Terdapat cerita-cerita pelik tentangf usaha dajal yang bermula menjauhkan umat Islam daripada mengerjakan solat di masjid terutamanaya solat Jumaat.

Mendengar ceramah yang bingung bagaimana Mekah dan Madinah tidak akan dimasuki jangkit penyakit seperti taun tetapi dalam kes Covid-19 ia masih masuk, menonton ceramah yang mempersoalkan bagaimana mengambil wuduk menghindari daripada penyakit tetapi bagaimana ia masih dijangkiti Covid-19. Banyak perbalahan mengenai hukum dan makasid berhubung Covid-19 di alam siber.

Kurungan digital menerima lambakan maklumat yang bercampur aduk dengan yang palsu, sahih, manipulasi sama ada teks, visual atau audio. Banyak troll yang diterima bersifat jenaka, positif dan negatif. Bersembang dalam kumpulan media sosial akan semakin hangat dengan cerita-cerita pejabat dan rakan-rakan, membaca teks perkembangan terkini berita Covid-19.

Kurungan digital yang ngeri apabila mendengar atau mendapat berita pertambahan kes, debaran jika bertambahnya bilangan yang mati atau kawasan kejiranan, adik beradik, sahabat handai atau rakan sekerja yang dijangkiti kerana ia akan memaksa kita memikirkan dengan siapa kita bersalam dan berpelukan. Ia akan membawa untuk mengimbau sejauh manakah kita mendekati mereka yang dijangkiti atau orang lain berdekatan dengan mereka yang dijangkiti dan kita yang berdekatan dengan mereka.

Citra-citra kurungan menjadi pengwajahan di negara ini dan dunia yang menyebarkan dan mengnormalisasikan ketidakberdayaan, ketakutan akan ancaman sejagat dan senario masa depan yang muram.Citra-citra seperti ini akan menjajahi ruang-ruang psikik manusia dengan kecerdasan emfati, trauma, fobia dan emosi.

Kecerdasan ini mengutamakan kecepatan, ketepatan dan ketelitian. Kecepatan dalam penuruan kes dalam jangkamasa dua minggu, ketepatan pengubatan semasa kurungan dan ketelitian dalam mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Jika tidak atau dalam dua minggu berlaku peningkatan kes maka wajah buram atau ngeri memunculkan kurungan dalam fasa yang lebih keras dengan memunculkan citra paranoid.

Kerjaan tidak menolak kemungkinan tempoh perintah kawalan pergerakan akan dilanjutkan, jika penularan Covid-19 dilihat belum berkurangan.

Oleh itu apakah yang dapat dilakukan kini untuk menyelamatkan masa depan negara yang mengarah kepada kurungan hiper? Jika ini berterusan (dijauhkan Allah) potret berkurung dan lebih banyak unsur kurungan akan membentuk ontologi dunia berkembang ke arah malapetaka.

* Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).