Berlaku adil dalam menilai kes mahkamah

Oleh NASUHA RAHMAN

Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menyelar keputusan Mahkamah Rayuan berhubung keputusan berkenaan dengan kes salah guna kuasa oleh bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak dianggap berat sebelah.

Menurut Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Abdul Hamid Jamah berkata MKT Umno perlu mengambil tindakan adil dalam menilai kes yang membabitkan pemimpin mereka.

Beliau memaklumkan keputusan mahkamah itu memerlukan proses kajian yang rapi dan MKT Umno perlu menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

“Sekiranya keputusan mahkamah itu membabitkan pemimpin pembangkang pastinya mereka (Umno) akan menyokong mahkamah tetapi ini membabitkan pemimpin mereka maka suara mereka lain.

“Kena adil dalam mengeluarkan kenyataan sekiranya tidak mampu berlaku adil lebih baik jangan keluarkan kenyataan kerana ia akan dilihat tidak cerdik.

“Mengapa mereka sebelum ini bersetuju dengan mahkamah sekiranya keputusan itu membabitkan pemimpin bukan dari parti mereka? Contohnya seperti kes yang membabitkan Dato Seri Anwar Ibrahim, mereka jawab keputusan mahkamah itu betul dan menyokong mahkamah.

“Hari ini lain pula nada mereka dalam kes Najib Razak ini. Inilah gambaran bahawa Umno hanya mementingkan kelompok mereka sahaja bukan berkenaan negara atau rakyat sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini MKT Umno menyatakan rasa “dukacita” terhadap keputusan mahkamah melibatkan bekas presiden parti itu, Najib Razak, di Putrajaya semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan 9 Disember yang lalu Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti itu berharap Najib akan diadili dengan saksama apabila kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas ini.

Hal itu kerana, menurut Ahmad, “ramai beranggapan” kes mahkamah melibatkan beberapa tokoh yang dituduh selepas pilihan raya umum (PRU) lalu bermotifkan politik.