Berlaku adillah dalam menghentam Dr Mujahid, kata Dr Kamarul

Berlaku adillah dalam menghentam Dr Mujahid, kata Dr Kamarul

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Yusoff meminta netizan berlaku adil dalam menghantam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa ekoran laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Beliau yang menulis di laman facebooknya terkejut apabila akhbar The Star milik MCA, yang masih merupakan parti komponen BN, meletakkan “No more moral policing” (tiada lagi polis moral), yang didakwa kata-kata Dr Mujahid, sebagai tajuk muka depannya hari ini.

Tajuk laporan sebenar akhbar ini juga katanya, tidak kurang mengejutkan, berbunyi “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives says Mujahid” (tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam kata Mujahid).

Bahkan katanya, isi laporan sebenar akhbar ini juga bermula dengan ayat keras, berbunyi “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” (tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki).

Ekoran itu, katanya, tajuk dan laporan akhbar The Star ini pula terus sahaja dipetik dan disebarluaskan oleh akhbar-akhbar lain seperti Mstar yang mengeluarkannya semula di bawah tajuk “Tiada lagi operasi khalwat waktu malam – Dr Mujahid”, begitu juga dengan tajuk Sinar Harian dan Astro Awani yang berbunyi “Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat”, tajuk Malay Mail yang berbunyi “Islamic affairs minister vows end to moral policing” dan tajuk Malaysia Kini yang berbunyi “Mujahid sees end to khalwat raids – report”.

“Hanya dengan membaca tajuk muka depan, tajuk laporan sebenar dan pembuka kata laporan sebenar akhbar The Star ini sahaja, dan laporan akhbar lain, maka bolehlah difahami kemeriahan media sosial hari ini, khususnya laman-laman Facebook, yang diisi oleh kritikan dan hentaman keras terhadap Datuk Dr Mujahid di dalam isu ini.

“Apatah lagi bila tajuk muka depan akhbar The Star ini sensasi sekali yang memberikan gambaran bahawa bukan setakat dosa peribadi (private sin) sahaja yang tidak akan dikawal, tetapi juga dosa umum (public sin),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setelah mendengar sendiri rakaman video wawancara wartawan akhbar The Star, Zakiah Koya, dengan Datuk Dr Mujahid, rupa-rupanya ayat “No more moral policing”, ayat “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives” dan ayat “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” bukanlah ayat-ayat yang keluar dari mulut Dr Mujahid sendiri tetapi hanyalah ayat-ayat yang dimasukkan oleh akhbar The Star.

Tulis beliau, terjemahan kepada jawapan penuh Dr Mujahid ini adalah berbunyi: “Isu perlaksanaan khalwat telah disalahguna, bukan semua tetapi ada isu-isu dan ada tempat-tempat di mana ia dieksploitasi dan disalahguna, tidak memberi keadilan kepada mereka yang melakukan dosa. Sebab itu kita sekarang sedang memperbaiki keadaan, dan adalah penting bahawa mereka menerimapakai Islam penyayang sebagai dasar mereka, dan dalam melaksanakan tugas mereka saya juga perlu sangat teliti dan berhati-hati untuk tidak mencerobohi hak-hak individu, yang saya fikir sekarang telah berkurang dalam, saya fikir, dan ada isu lain, untuk maklumat anda, bila anda bercakap mengenai perlaksanaan pencegahan khalwat, anda akan mendapati bahawa ia berada di dalam kehakiman negeri, bukan di bawah kehakiman saya, kerana kami terikat dengan undang-undang atau kuasa negeri dan kuasa persekutuan, dan kebanyakan daripada kehakiman Islam adalah berada di bawah kuasa negeri, bukan kuasa saya, tetapi kita boleh ada platform di mana kita akan berjumpa semua pengarah hal ehwal Islam negeri di mana kita boleh berbincang dan berkongsi pandangan-pandangan kerajaan persekutuan mengenai semua isu ini.”

Justeru, tegas beliau berdasarkan kefahamanya kepada jawapan penuh Dr Mujahid, maka bolehlah disimpulkan bahawa perkara-perkara ini adalah tidak tepat iaitu, tiada lagi polis moral di Malaysia selepas ini, tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam dan tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki.

“Walau apa pun perbezaan pendapat antara kita dan Dr Mujahid, kita perlu ingat bahawa kata-kata ini bukanlah kata-kata yang keluar dari mulut Dr Mujahid sendiri tetapi hanyalah kata-kata yang dimasukkan oleh akhbar The Star,”tegas beliau.

Malah, katanya, Dr Mujahid sendiri menyebut bahawa perkara-perkara ini adalah di bawah kuasa negeri, bukan di bawah kuasa beliau, di mana apa yang boleh beliau lakukan hanyalah “berbincang dan berkongsi pandangan-pandangan kerajaan persekutuan (dengan negeri) mengenai semua isu ini.”

“Saya memilih untuk menunggu sehingga perjumpaan dengan “semua pengarah hal ehwal Islam negeri” ini berlaku dahulu sebelum membuat ulasan lanjut ke atas isu ini,”katanya.

8.0
OVERALL SCORE
4 user votes x 10.0