Berlambak bahan lucah budak dalam telefon bimbit, penuntut IPT warga asing ditahan

Oleh ARIF ATAN

Berlambak bahan lucah kanak-kanak terdapat dalam komputer riba dan telefon bimbit milik seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) warga asing.

Suspek yang berusia 24 tahun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Seremban, Negeri Sembilan kelmarin hasil kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek berjaya menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu hasil siasatan mendapati suspek menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa.

Jelasnya, suspek turut melakukan ugutan bagi mendapat bahan berunsur seksual (sextortion) dengan kesemua mangsa terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.

Sehubungan itu, katanya, lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk pertuduhan pada hari ini.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan·Kesalahan Seksual Terhadap Kanak·Kanak 2017 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga puluh tahun dan sebatan.

“Pertuduhan juga akan dibuat mengikut Seksyen 10 akta yang sama dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya,” tambah Noorsiah lagi.

Untuk rekod, “pornografi kanak-kanak” dalam Akta Kesalahan·Kesalahan Seksual Terhadap Kanak·Kanak 2017 bermaksud sebarang gambaran, sama ada dalam bentuk visual, audio atau bertulis atau gabungan bentuk visual, audio atau bertulis, atau dengan apa-apa cara lain:

i) mengenai seorang kanak-kanak yang sedang melakukan suatu kelakuan seksual secara
terang-terangan;

ii) mengenai seseorang yang kelihatan seperti kanak-kanak yang sedang melakukan suatu
kelakuan seksual secara terang-terangan;

iii) mengenai imej realistik seorang kanak-kanak sedang melakukan suatu kelakuan seksual secara
terang-terangan; atau

iv) mengenai imej realistik seseorang yang kelihatan seperti kanak-kanak sedang melakukan suatu
kelakuan seksual secara terang-terangan.

Sementara itu, “kelakuan seksual secara terang-terangan” termasuklah yang benar atau simulasi yang berikut:

i) persetubuhan, atau perbuatan yang memberahikan termasuk kontak fizikal yang melibatkan alat
kelamin dengan alat kelamin, mulut dengan alat kelamin, dubur dengan alat kelamin, atau mulut
dengan dubur, antara orang yang mempunyai jantina yang sama atau berlainan;

ii) perbuatan kebinatangan;

iii) onani;

iv) penganiayaan sadis atau masokis dalam konteks seksual;

v) menunjukkan alat kelamin, punggung, payudara, bahagian pubis atau dubur dengan berahi; dan

vi) penggunaan apa-apa objek atau peralatan bagi perbuatan yang memberahikan.

Baca juga Pelajar IPT buat rumah macam pusat sampah, pemilik luah sebab inilah ramai trauma nak sewakan pada pelajar

Baca juga Lima graduan hadiri konvokesyen terlibat kemalangan