Berlian merah jambu: Ramai minta maaf pada saya, kata Najib

Berlian merah jambu: Ramai minta maaf pada saya, kata Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan ramai yang meminta maaf kepadanya selepas kerajaan mengesahkan tiada sebarang pembelian berlian merah jambu oleh isteri VVIP di negara ini.

Menurut Najib, perkara itu membuktikan ramai lebih percaya kepada fitnah dimainkan pembangkang sebelum PRU14.

“Semalam (kelmarin) di Dewan rakyat, VVIP dan ‘pink diamond’ yang selama ini difitnah tidak dibeli oleh sesiapa. Tetapi masa PRU14, tubuh badan ini dan isteri jadi mangsa fitnah.

“Sebab bila cerita itu keluar dalam Facebook, saya tengok berderet-deret orang minta maaf pada saya. (Kami) jadi mangsa fitnah dahsyat,” katanya dalam ceramah di program Bossku Bersama Rakyat di Kampung Kanchong di sini, malam tadi seperti dipetik sinaronline hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu dan barang kemas lain ke Malaysia untuk isteri seorang VVIP telah mengisytiharkan barangan berharga berkenaan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Najib berkata, sebelum ini isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah memberikan bukti tiada sebarang pembelian dilakukan.

“Tapi rakyat percaya Rafizi (Ramli), Tony Pua. Kata isteri saya beli berlian berjuta-juta padahal dia tak tahu.

“Dia tengok saja dalam pameran. Lepas Kuala Lumpur, (berlian) dibawa pergi ke Singapura dan Hong Kong,” katanya.