Berlian palsu: Tiada sebab perlu minta maaf, penuhi tuntutan Dr Vida, kata Aishah

Berlian palsu: Tiada sebab perlu minta maaf, penuhi tuntutan Dr Vida, kata Aishah

Penyanyi Aishah berkata tiada sebab beliau perlu meminta maaf dan memenuhi semua tuntutan usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman terhadap dakwaan seutas barang kemas palsu yang diberikan kepadanya sebagai Juara Gegar Vaganza Musim ke-4 (GV4).

Aishah berkata, pihaknya sendiri sudah memastikan ‘rantai dan loket’ yang dikatakan sebagai ‘berlian’ itu daripada seorang pakar gemotologis.

“Tidak ada sebab saya harus minta maaf kerana sememangnya loket yang diberi itu terdiri dari batuan Swarovski Zirconia.

“Setahu saya Zirconia itu ‘bukan berlian’. Ianya telah disahkan oleh laporan dari pakar gemologi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Aishah bersama peguamnya menunjukkan bukti daripada pakar  berkaitan ketulenan  rantai dan loket yang diterimanya sebagai juara GV4  dalam sidang media diadakan  pada 5 Oktober lepas.

Beliau diminta respon terhadap 3 tuntutan Dr Hasmiza yang juga dikenali sebagai Dr Vida dalam sidang medianya semalam.

Dr Vida menuntut Aishah supaya membuat permohonan maaf dan menarik semula perkataan ‘berlian palsu’ di Instagramnya kerana dakwanya perniagaannya merudum kepada 70 peratus.

Dr Vida turut menyeru agar Aishah bersemuka bagi menjernihkan kemelut antara mereka

Dr Vida turut mengeluarkan notis tuntutan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari daripada Aishah sebelum beliau memenuhi semua tuntutan penyanyi itu sebelum ini yang meminta ganti rugi ke atas barang kemas tersebut.

Dr Vida bersama peguamnya Zailan Mohamed menuntut Aishah membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari.

Tambah  Aishah lagi,  beliau dan peguamnya Mohammad Izwan Azmi hanya akan bertemu Dr Vida apabila kedua-dua tuntutannya dapat ditunaikan terlebih dahulu.

“Kenyataan ‘berlian palsu’ itu adalah benar jadi tiada sebab saya nak turunkan dari Instagram. Melainkan jika Dr Vida akur dengan kedua-dua tuntutan kami barulah kami akan pertimbangkan untuk memadam semua status mengenai kes ini,” ujarnya lagi.

Aishah sebelum ini dalam satu notis bertarikh 4 Oktober 2018 menuntut daripada Dr Vida seutas rantai berlian asli dengan nilai setara dengan RM80,000 seperti yang direpresentasi dan dihebohkan oleh Dr Vida sebelum ini.

Selain itu, Aishah mahu permohonan maaf secara terbuka kepadanya diatas representasi salah yang telah dibuat dan dihebohkan berkenaan dengan Rantai Berlian tersebut.

Aishah turut memberitahu beliau telah menerima notis pemberitahuan daripada peguam Dr Vida, berkaitan 3 tuntutan penaja utama GV4  itu semalam (Selasa).

“Kami sudah terima surat daripada peguam Dr Vida,” ujarnya.

Sebelum ini, menerusi akaun Instagram Aishah, beliau sudah menyertakan beberapa bukti mengatakan hadiah barangan kemas itu yang dikatakan bernilai RM80,000 itu adalah palsu.

Malah, penyanyi itu turut menyertakan laporan pakar permata ( gemotologist) yang menilai ketulenan hadiah yang diberikan oleh Dr Vida  itu.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS