Bermodalkan RM40, lelaki ini mampu raih RM80,000 sebulan dengan menjual karipap

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan wang bernilai RM40, seorang lelaki daripada Pontian, Johor ini mampu meraih pendapatan mencecah RM80,000 sebulan.

Percaya atau tidak, usahawan yang dikenali sebagai Jasmin Pannaot itu berjaya memperolehi keuntungan lumayan dengan hanya menjual satu jenis kuih-muih iaitu karipap.

Difahamkan, bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu mula menjual karipap atau lebih dikenali sebagai epok-epok di kalangan penduduk Johor terbabit pada lapan tahun lalu, lapor Kosmo.

Jasmin yang dahulunya bergelar penjaja jalanan itu perlu berjalan kaki kira-kira 10 kilometer setiap hari untuk sampai ke lokasi beliau berniaga ketika mula menceburi bidang perniagaan.

Usahawan itu akan menjaja di daerah Johor di sekitar kawasan Dataran Pontian, Laman Diraja Pontian dan juga di pasar malam sambil menggendong bakul yang penuh dengan kuip karipap.

Jasmin turut mendendangkan lagu pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) sambil menjaja kuih-muihnya itu dalam usaha untuk menarik perhatian dan minat pelanggan.

Bukan senang untuk mencari rezeki, tangan lelaki yang kini berusia dalam lingkungan 50-an itu rupa-rupanya pernah mengalami kecederaan kecil kerana terlalu lama menggendong bakul.

Akibat daripada kecederaan itu, peniaga terbabit terpaksa mengeluarkan wang membeli troli untuk meneruskan perniagaan setelah tangannya tidak dapat bergerak seperti biasa.

Walau bagaimanapun, nasibnya berubah sekelip mata setelah membuka kedai di bawah bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Berkat bimbingan tersebut, Jasmin berjaya memajukan perniagaannya dengan membuka beberapa gerai kecil atau ‘stall’ Karipap Ale-Ale di beberapa kedai makanan popular di sekitar Pontian.

“Saya telah membuka sebuah kedai di bawah bimbingan RISDA yang mampu mengeluarkan kira-kira 2,000 hingga 5,000 epok-epok sehari.

“Karipap yang saya jual mempunyai pelbagai jenis inti se­perti kentang, telur, sardin, ayam, daging, nanas, keju dan mihun dengan harga RM1 hingga RM5 (ikut saiz),” katanya memetik laporan Kosmo.

Usahawan berkenaan juga mampu meraih keuntungan di antara RM60,000 sehingga mencecah RM80,000 sebulan dengan penambahan produk lain iaitu karipap ‘frozen’ atau sejuk beku.

Bukan sahaja pernah memperoleh keuntungan lumayan sekitar RM100,000 ketika cuti persekolahan, Jasmin juga telah berbincang dengan pelabur Singapura untuk memasarkan karipapnya ke negara itu.

Baca juga: Penjual kereta pening kepala, pemuda gaji RM3,000 mohon nak beli Mercedes RM300k