Malaysia Dateline

Bermula dari Sook, Anwar sehari suntuk berkempen di semua kerusi PKR

Berbaki lagi enam hari sahaja lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengadakan siri jelajahnya di kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu.

Hanya dalam tempoh sehari, beliau memulakan jelajahnya dengan ceramah perdana bersama rakyat di Sook dekat Keningau dan Klias yang berjarak lebih 100 kilometer (km).

“Di acara ceramah perdana di DUN Sook pagi tadi. Saya sebut bahawa negeri ini negeri kaya dan tak sepatutnya rakyat hidup dalam kemiskinan,” katanya dalam catatan di Twitter.

Anwar berkempen bagi calon PKR DUN Sook, Raymon Ahuar dengan menegaskan kepentingan memilih pemimpin yang dapat memastikan hasil negeri dinikmati oleh rakyat.

N45 Sook yang mempunyai 10,397 pengundi menyaksikan pertandingan lima penjuru. Pada PRU 2018, Datuk Ellron Angin menang dengan majoriti 4,485 undi atas tiket BN-PBRS sebelum dia kemudiannya menyertai STAR.

Sementara itu, Anwar menekankan tentang integriti semasa berceramah di DUN Klias, yang majoriti pengundinya Bumiputera Muslim.

“Perjuangan kita bukan untuk mengangkat mana-mana suku atau kaum sebagai ciri utama seorang pemimpin tapi apa yang mustahak adalah integriti,” ciapnya.

Anwar turut menyeru pengundi di Klias mengundi Abdul Rahman Md Yakub dari PKR yang berentap dalam pertandingan enam penjuru.

Mengikut jadual jelajahnya hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan kemudiannya berkempen di kerusi DUN Matunggong di Kudat dan seterusnya menempuh perjalanan hampir 70 km ke Tempasuk di Kota Belud untuk sesi santai di sebelah petang.

“Usai di Tempasuk saya kemudian terus ke Tamparuli untuk bersama calon PKR bagi DUN Tamparuli saudara Alijus Sipil.

“Saya tekankan kepada rakyat bahawa mereka sebagai penentu kuasa harus memilih calon kita serta rakan sekutu bagi penerusan gerak kerja sebelum ini.

“Soal kebajikan serta aksesibiliti kepada rakyat menjadi perjuangan utama dan fokus kita dalam pilihanraya negeri kali ini. Mari bersama kita lakar perubahan dan kejayaan,” katanya.

Anwar dijangka mengakhiri siri jelajahnya di DUN Api-Api dan Inanam malam ini, yang merupakan dua kerusi yang dimenangi PKR pada pilihan raya 2018.