Siapa sangka keputusan seorang peneroka FELDA 30 tahun lalu untuk melabur hasil jualan kelapa sawitnya dengan membeli lembu, berjaya mendatangkan hasil yang lumayan buatnya.
Karip Mohd Salleh, 67 dari FELDA Serting Hilir Lima, Jempol berkata, dia pada awalnya bermula dengan hanya lima ekor lembu sahaja sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatannya sebagai peneroka FELDA.
Biarpun dahulu ada yang menyarankannya untuk membesarkan rumah daripada menternak lembu, dia tetap dengan pendiriannya kerana minat dalam bidang ternakan.
Kini Karip sudah pun memiliki 400 ekor lembu dengan 300 ekor kerbau, sekali gus menjadikannya antara penternak yang mempunyai bilangan kerbau paling banyak di negara ini.
Karip berkata, dia mula menternak lembu secara kecil-kecilan bermula 1991 dan menjadi 30 ekor pada 1993 dan jumlah itu terus bertambah dari tahun ke tahun.
“Pada awal pembabitan, saya membeli lembu menggunakan duit hasil pendapatan sebagai peneroka dan ketika itu harga kelapa sawit agak lumayan.
“Saya gunakan pendapatan membeli lembu biarpun ketika itu ada yang menyarankan saya supaya membesarkan rumah.
“Namun disebabkan minat dalam bidang ternakan dan ada pengalaman dalam bidang itu saya mahu fokus dengan menternak lembu dahulu,” katanya memetik Berita Harian baru-baru ini.
Karip berkata, selepas meraih hasil dari jualan lembunya, dia sedikit demi sedikit mengubah suai kediamannya demi keselesaan keluarga.
Ibarat bersusah susah dahulu, bersenang senang kemudian, Karip membuktikan peribahasa rezeki secupak tidak akan menjadi segantang adalah pesimis, sebaliknya ia boleh diubah sekiranya ada usaha apatah lagi ketika itu dia masih muda dan mempunyai kudrat.
“Apabila ternakan lembu menjadi, saya ambil keputusan untuk menternak kerbau pula pada 2001 dan ketika ini saya memiliki lebih kurang 300 ekor kerbau.
“Lembu dan kerbau diternak di dalam ladang kelapa sawit dan hanya memakan rumput sebagai makanan utama, tiada makanan sampingan seperti dedak diberikan, haiwan itu bebas meragut rumput di dalam kawasan ladang manakala air garam diberi bertujuan menjinakkan haiwan berkenaan,” katanya.
Baca juga: Sayang nak buang bekas plastik yang berbau? Ikuti tip ini, ‘gerenti’ hilang bau