Malaysia Dateline

Bermula Syawal serah sumbangan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar, kata DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menyeru sumbangan ke atas golongan gelandangan disalurkan kepada golongan miskin bandar bagi mengelakkan berlaku pembaziran berkuatkuasa menjelangnya perayaan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun ini..

DBKL dalam satu kenyataan berkata, selain gelandangan sumbangan juga boleh disalurkan kepada penduduk yang termasuk dalam kategori miskin bandar di Perumahan Awam (PA) dan Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan DBKL yang akan berkuatkuasa pada Syawal ini ketika umat Islam menyambut hari raya..

Katanya lagi, DBKL telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Alam Flora Sdn Bhd dan 15 Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengatasi masalah lebihan sumbangan yang berlaku pada bulan Ramadan tahun ini.

“Daripada pemerhatian DBKL, sumbangan telah sampai ke tahap berlebihan khususnya makanan yang mana telah menyebabkan berlaku pembaziran. Ini berlaku kerana terdapat lebih tawaran serta kurangnya kawalan dari segi pengagihan.

“Sehubungan itu keadaan ini telah menyumbang kepada satu masalah iaitu kebersihan dan kerudian di kedua-dua belah pihak antara penyumbang dan penerima

“Hasil pertemuan tersebut DBKL telah bersetuju agar sumbangan tersebut diberikan kepada penduduk di PPR dan PA,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, mana-mana NGO,Syarikat korporat, agensi kerajaan dan orang perseorangan yang ingin memberi sumbangan bagi tujuan CSR mereka boleh menghubungi terus Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL di Menara DBKL 4, Jalan Raja Abdullah Kuala Lumpur.

Mereka akan diberi panduan mengenai jadual agihan, golongan sasar, kuantiti serta bentuk sumbangan dan waktu yang sesuai supaya sumbangan tersebut dapagt disalurkan dengan lebih tepat dan tidak membazir.

“Penyelarasan DBKL itu akan bermula pada bulan Syawal dan akan berterusan sehingga bila-bula.

“Pihak JKM dan YKN akan terus memberi tumpuan kepada golongan gelandangan di pusat bandar manakala DBKL akan memberi tumpuan kepada golongan miskin bandar yang terdapat PA dan PPR di bawah DBKL,” ujar kenyataan itu lagi.