Malaysia Dateline

Bernama TV guna imej harimau mandi lega dapat air

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) TV memuat naik gambar seekor harimau sedang mandi dengan kapsyen “Yeay..Leganya ada air..” dalam ciapan Twitter pagi ini.

Info berkenaan sejumlah kawasan telah pulih daripada gangguan bekalan air itu walau bagaimanapun bukan satu yang melucukan bagi ramai penduduk Lembah Klang yang banyak kali terjejas akibat masalah tersebut.

“Penduduk Lembah Klang menarik nafas lega selepas 83% daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas LRA Sg Selangor Fasa 1,2,3 & Rantau Panjang akibat pencemaran, telah menerima bekalan air sepenuhnya setakat 6 pagi tadi,” ciap Twitter Bernama TV.

Kira-kira 1.2 juta pemegang akaun Air Selangor melibatkan 1,292 kawasan sekitar Lembah Klang iaitu di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas akibat kekerapan gangguan bekalan air mentah.

Masalah sama terus berulang akibat pencemaran sumber air sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mengundang amarah penduduk terlibat.

Susulan ciapan Twitter berimej harimau itu, ada warganet yang pada awalnya menyangka ciapan itu daripada laman parodi, Bermana yang terkenal mengelirukan orang ramai dengan logo dan olahan ayat menyerupai agensi berita nasional, Bernama.

Untuk rekod, Bernama TV yang mengguna pakai slogan “Segalanya Tentang Anda” merupakan satu saluran berita milik Bernama yang beroperasi selama 24 jam.