“Berniaga kalau modal berjuta, hutang pun berjuta juga” – Shuib ceburi bisnes baru

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap perniagaan ada pasang surutnya, ada waktu rugi, ada masa merasa untungnya tapi kalau cepat berputus asa maka tak ke mana.

Buat pelawak dan usahawan Shuib, dia tidak pernah mengalah daripada mencuba perniagaan meskipun ada yang berakhir dengan kegagalan.

Hutang mencecah puluhan ribuan ringgit, Shuib memaklumkan dia tidak akan lari daripada bertanggungjawab dan terus berunding untuk menyelesaikan ia lapor Kosmo! Online.

“Hutang itu sudah semakin berkurang. Saya percaya kalau mula berniaga dengan modal berjuta-juta, hutangnya pun berjuta juga.

“Sebahagian besar hutang datang daripada perniagaan keseluruhan. Saya ada beberapa bisnes, tetapi yang agak kritikal ialah jenama Bubble Bee.

“Memandangkan perniagaan sebelum ini agak besar, saya banyak berbincang dengan agensi kerajaan dan dapatkan nasihat daripada bank.

“Alhamdulillah, semua beri kerjasama,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Shuib juga sebelum ini dikaitkan dengan isu tunggakan cukai dan pinjaman yang melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Namun dia tidak cepat berputus asa daripada bergelar seorang usahawan malah menjadikan segala isu sebagai pemangkin untuk teruskan perniagaan.

“Satu per satu saya lihat bisnes kembali rancak. Harap momentum ini berkekalan.

“Beginilah perjalanan seorang usahawan. Ada naik turun, jadi jangan risau. Kita lalui sahaja dan jangan berhenti.

“Saya percaya Allah beri rezeki yang baik, cuma saya sendiri perlu baiki kesilapan, jadi lebih fokus dan konsisten.

Kini Shuib nekad membuka cabang baharu menerusi jenama Nasi Bakar Bangkit dan menjadikan anaknya Matin sebagai duta produk.

Meskipun tak terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), Shuib menguji rasa dan memastikan padanan rempah serta tahap kepedasan mencapai tahap piawaian ditetapkan.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan sejak dibuka dalam bulan Ramadan. Kami sendiri tidak jangka respons sebegini.

“Walaupun hujung minggu sedikit terjejas sebab ramai hadiri rumah terbuka, orang tetap datang. Pelanggan mula kenal Nasi Bakar Bangkit dan menu kami,” jelasnya.

Baca juga: Ben Ladin penat dikejar pemiutang, dakwa ibu bapa guna namanya perdaya orang ramai