Berniaga roti sebabkan Tabung Haji rugi RM90 juta, untungkan Vincent Tan

Berniaga roti sebabkan Tabung Haji rugi RM90 juta, untungkan Vincent Tan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Satu demi satu urusniaga Tabung Haji yang merugikan didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Kali ini pelaburannya dalam Silverbird Group Berhad, syarikat pembuat roti High-5 yang mengakibatkan kerugian RM90 juta.

Menurut Rafizi, Tabung Haji mula melabur dalam syarikat tesebut pada 2007 pada harga yang cukup tinggi sehingga syarikat itu diisytiharkan tidak mampu menampung perbelanjaan perniagaan dalam tahun 2012.

Naib Presiden PKR itu berkata, Tabung Haji membeli saham-saham Silverbird secara agresif dalam masa sebulan di antara September hingga Oktober 2007 sehingga melonjakkan harga saham Silverbird dari 39 sen sesaham (awal September 2007) kepada RM1.08 sesaham pada 16 Oktober 2007.

“Kesemua saham-saham Silverbird dibeli oleh Tabung Haji dalam tempoh tidak sampai 1 bulan sehingga ia muncul sebagai pemegang saham terbesar Silverbird pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007,” jelas beliau.

Menurutnya, berdasarkan harga asal saham Silverbird pada 39 sen sesaham, anggaran pelaburan Tabung Haji di dalam Silverbird pada September 2007 mencecah RM98 juta dengan mengambil kira Tabung Haji membeli pada ketika harga telah naik mendadak.

“Seorang lagi pemegang saham terbesar pada ketika harga saham Silverbird mula naik mendadak (kerana pembelian agresif oleh Tabung Haji) adalah Tan Sri Vincent Tan.

“Pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007, Tan Sri Vincent Tan juga muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar Silverbird dengan pegangan (langsung dan tidak langsung) sebanyak 22.79%.

“Sudah tentu keghairahan Tabung Haji membeli saham Silverbird secara agresif turut sama menguntungkan Tan Sri Vincent Tan yang nilai sahamnya di dalam Silverbird turut naik,” katanya.

Bagaimanapun jelas Rafizi, prestasi operasi dan kewangan Silverbird merudum selepas itu dan tidak memberangsangkan sehingga pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2011, syarikat telah mencatatkan kerugian terkumpul RM44 juta.

Menurut Rafizi, semakan Laporan Tahunan Silverbird menunjukkan Tabung Haji menjual saham-sahamnya di antara 28 Februari 2013 dan 28 Februari 2014 dengan purata harga saham sekitar 10 sen sesaham.

“Pada harga tersebut, Tabung Haji diunjurkan mengalami kerugian sekitar RM90 juta dari pelaburan asal berjumlah RM98 juta.

“Sudah tentu jika dana RM98 juta ini dilaburkan di dalam perniagaan yang lebih menguntungkan, nilainya akan bertambah menjelang 2014 dan kerugian yang ditanggung Tabung Haji (mengambil kira kos pelaburan terlepas) adalah lebih tinggi dari RM90 juta,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pengurusan Tabung Haji menjelaskan mengapa Tabung Haji membeli saham Silverbird secara mendadak sehingga melonjakkan harga sahamnya dalam tempoh sebulan dalam tahun 2007 dan menyebabkan Tabung Haji membayar premium 177%?

Tabung Haji juga, ujarnya perlu menjelaskan kesilapan pelaburan sehingga mengakibatkan kerugian RM90 juta pelaburan asal dalam tahun 2007.

Beliau juga mahu Tabung Haji mendedahkan jumlah sebenar pelaburan dan kerugian terkumpul Tabung Haji di dalam Silverbird setakat ini dan individu yang telah dibawa ke muka pengadilan akibat kesilapan itu.

TAGS