Berpanas halang pasar diroboh, pemimpin Pas hanya pertahan kuasa

Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh turut merayu campur tangan Sultan Kelantan .

Kekecohan lebih sejam ketika pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) cuba untuk merobohkan pasar besar di tengah bandar daerah itu dilihat tidak mendapat sebarang tindakan kerajaan negeri yang dikuasai Pas.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan mendedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood enggan melayan panggilan telefonnya berhubung operasi perobohan itu.

“Suasana di Pasar Pasir Puteh pagi semalam agak kritikal. Kasihan melihat para kaum ibu dan ayah berpanas demi mempertahankan pasar mereka.

“Saya menghubungi YB Datuk Fattah Mahmood, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, minta beliau laksanakan amanahnya sebagai exco untuk menyelesaikan permasalahan ini.

“Namun, Exco meletakkan telefon dan tidak melayan kami. Slogan Merakyat Membangun Bersama Islam hanya retorik Pas,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Hazmi yang turut berada di lokasi kejadian pada pagi semalam memberitahu tiada seorang pun pimpinan Pas hadir dan bersama rakyat.

Hazmi Hassan

“Mereka hanya sibuk dengan program Bangkit Pertahan dan ianya bukan untuk kesejahteraan rakyat tetapi hanya untuk pertahankan kuasa sahaja,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu ahli-ahli Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh Kelantan (Pembekal) telah dimaklumkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu bahawa pendengaran permohonan injuksi bagi menghalang pihak MDPP menjalankan kerja-kerja perobohan bangunan pada 15 Mac ini.

Lebih 300 peniaga termasuk wanita berkumpul mempertahankan pasar yang dibuka sejak tahun 1980 itu.

Mereka kemudiannya berjaya mengusir pihak berkuasa yang cuba melakukan kerja-kerja meroboh tanpa mengikut proses undang-undang.

“Semua peniaga dan ahli persatuan saya minta bersabar apa yang berlaku.

“Saya harap sebelum pengunduran (pihak berkuasa) 100 peratus, jangan tinggalkan pasar ini. Pastikan mereka balik.

“Bawa surat mahkamah terlebih dahulu, baru kami undur,” tegas wakil peniaga, Kamarzaman Che Ngah melalui pembesar suara.

7.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 9.7