Berpeluang selami jerih perih rakyat, kata bekas calon termuda AMANAH

Lebih sebulan berlalunya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi peluang menjadi calon di kawasan luar bandar pada usia muda memberikan pengalaman yang amat berharga.

Meskipun tidak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selinsing, Perak pada PRU-14 lalu, namun Ustaz Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis, 26, menghargai pengalaman terlibat dalam PRU paling bersejarah itu.

Bekas calon AMANAH paling muda itu berkata, paling terkesan di hatinya adalah rasa simpati dan ambil berat dengan kesusahan hidup orang lain.

“Sepanjang tempoh kempen PRU lalu, saya berpeluang bertemu seberapa ramai masyarakat sambil menyelami perasaan dan keadaan mereka.

“Antaranya, ketika menziarahi penduduk setempat pada waktu pagi di Pengkalan Sungai Baru yang sedang menanti tangkapan ikan dinaikkan, saya dapat mendengar jerih perih mereka tentang kos sara hidup yang kian melambung,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut Pengerusi Biro Keahlian Pemuda AMANAH Nasional itu, pertemuan bersemuka dengan rakyat itu membolehkannya mengetahui bagaimana akibat ketidakpedulian atau kesilapan pemimpin sama ada secara teknikal atau tidak menjalankan tugas telah meminggirkan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Ada orang susah dia dapat duit tetapi dia tidak dibantu dari segi rohani. Hanya material, ini tidak mencukupi,” ujarnya yang bertanding tiga penjuru menentang Husin Din dari Pas dan calon BN, Mohamad Noor Dawoo. 

Sehubungan itu, Ustaz Ahmad Saqif yang juga cicit kepada tokoh ulama berpengaruh Perak, Almarhum Ustaz Abu Bakar al-Baqir (1907-1974) berharap kerajaan PH membudayakan nilai politik yang sihat.

“Dengan kemenangan PH ini, kita harus membentuk budaya siasah nilai yang baharu, buang jauh-jauh politik kesumat acuan Pas-Umno.

“Kerajaan baru ini mampu membentuk politik nilai, walaupun JKKK terdiri daripada pelbagai fahaman parti, pengerusi dan ahli kariah masjid tetapi masing-masing berkongsi idea membangunkan rohani selain fizikal rakyat,” tegasnya.

Bagi pendokong dan penyokong AMANAH pula, Ahmad Saqif menyeru agar berperanan menterjemah politik Islam yang membawa rahmat kepada semua.

“Justeru, Pemuda AMANAH wajib menjadi pemain utama dalam menterjemah politik Islam yang bersifat Rahmatan Lil ‘Alamin,” tambahnya lagi.

Ustaz Ahmad Saqif mendengar keluhan tentang bebanan kenaikan melambung kos sara hidup daripada masyarakat kampung yang sedang menanti tangkapan ikan dinaikkan di Pengkalan Sungai Baru menjelang PRU-14 lalu.

8.0
OVERALL SCORE
: 5.0
2 user votes x 9.5