Malaysia Dateline

Berpunca dari ziarah raya dua buah keluarga akibatnya 127 positif

Seramai 19 orang dikesan positif COVID-19 hanya daripada dua buah keluarga kerana adanya aktiviti rentas negeri sebelum hari raya dan ziarah menziarahi melibatkan keluarga besar.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, sikap pentingkan diri ini mengakibatkan jangkitan sambung menyambung yang bermula dengan aktiviti kunjung mengunjung, kemudian ke pejabat, jemaah masjid akhirnya wujudlah kluster.

Di Terengganu, kini kluster Kg Matang telah merebak ke tiga buah Kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat dan ianya masih aktif.

“Mungkin kita rasa tak apa lagi kalau jangkitan dalam keluarga sahaja sebab pematuhan SOP dalam keluarga diakui sangat sukar.

“Namun jika melibatkan beberapa keluarga, jiran tetangga dan pejabat-pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung rasa kesal dan nak marah sangat sebenarnya,” kata beliau.

Seramai 127 kes positif dikesan dari Kluster ini yang telah merebak hingga ke generasi ke 5.

Kontak rapat sahaja seramai 725 orang tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan beberapa buah kampung tadi, masih ada 975 sample sedang menunggu keputusan.

“Jika keadaan begini berterusan dan kluster baru tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster tu serentak?

“Jika keadaan begini berterusan mampu ke kita landaikan lekuk epid dalam masa 2 minggu ini?

“Kisah kisah begini sering saya ceritakan untuk memberi iktibar kepada masyarakat bahawa jika pematuhan SOP dipandang ringan dan berterusan dilanggar ini akibat yang akan kita tanggung.

“Jika nak buat sesuatu fikir orang lain. Jaga orang lain. Jangan fikir diri kita sahaja.

“Tolong kami fahami kesusahan kita jika pandemik COVID 19 berterusan begini. Jangan pentingkan diri sendiri akibatnya orang lain yang terkena mudaratnya,” kata beliau.