Malaysia Dateline

Bersabar hadapi Raya semasa Covid-19

Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu meminta semua rakyat negara ini bersabar ketika menyambut Hari Raya ketika negara dan dunia terpaksa berdepan dengan wabak Covid-19.

Beliau meminta semua pihak mematuhi segala peraturan dan nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dibuat secara profesional bagi melawan wabak ini.

“Kita rakyat Malaysia hendaklah mematuhi segala peraturan dan nasihat ini,” kata beliau.

“Memang kita tidak dapat bertemu kaum keluarga dan rakan taulan sebagaimana tahun-tahun lalu, kita mesti bersabar dan berusaha serta berdoa semoga serangan virus ini berjaya kita hadapi dan kembali pulih kehidupan seperti sedia kala,” kata beliau lagi dalam ucapan sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri itu.

Sempena Aidil Fitri ini, beliau meminta semua merayakannya dalam bentuk kekeluargaan.

“Yang paling penting kepada fitrah Allah. Perjuangan Ramadan sebulan yang lalu adalah bekalan untuk 11 bulan akan datang untuk kita hidup sebagai insan yang bertaqwa yang terus berusaha untuk menegakkan maaruf dan menentang segala bentuk mungkar.

“Saya mewakili seluruh pimpinan Parti Amanah Negara dan seluruh ahlinya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin,” kata beliau.