Malaysia Dateline

Bersahabat, biar selamanya

Sepanjang kehidupan kita adalah kembara keluar daripada rantaian kemiskinan, kemunduran dan kejahilan. Oleh itu, menuntut ilmu adalah salah satu faktor utama manusia mengembara dan keluar daripada kampong halamannya. Bacalah sejarah para nabi, alim ulama, cerdik pandai dan pemimpin dunia. Kebanyakan para nabi mengembara dan berpindah atau berhijrah.

Sepanjang kembara itulah, kita akan temui pebagai jenis manusia yang berbeza budaya dan pemikiran. Dari hidup dalam masyarakat Melayu kampong, sedikit demi sedikit memahami makna masyarakat majmuk. Kampong saya, Sungai Manik memang terkenal dengan unsur Melayu yang terkenal dengan selepang merah dan magis parang terbang. Di ibukota, masyarakat bukan sekadar majmuk tetapi individulistik, material dan canggih tetapi tetap akarnya agama.

Pengamalan agama lebih praktis dan bebas di bandar berbanding di kampong yang sarat dengan pantang larang serta tradisi yang diwarisi zaman berzaman. Apabila berkesempatan bermasyarakat dengan masyarakat sekular di bumi Inggeris, saya lebih teruja. Terngiang-ngiang kata-kata Sheikh Abduh yang berkesempatan melawat Eropah, ‘Aku Aku melihat Islam (di Eropah), tetapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.

Hakikatnya bukan batang tubuh kita yang mengembara tetapi segala fikrah yang kita tempuh telah membina diri kita pada hari ini. Diri kita sebenarnya adalah sebahagian yang terbentuk daripada himpunan diri-diri orang lain. Begitu juga sebaliknya. Semua ini dihubungkan dengan idea-idea yang berkembang samada disebarkan melalui tulisan atau apa jua media yang ada.

Ada seusia muda sudah meninggalkan kampong halaman dan keluarga untuk menuntut ilmu. Saya mungkin agak terlewat. Ketika berusia 17 tahun baru keluar dari kampong halaman di Sungai Manik untuk ke Ipoh dan kemudian ke Kuala Lumpur menuntut ilmu. Tidak puas merantau di negeri orang, saya nekad ke luar negara untuk menuntut ilmu. Bukan sijil atau gelaran yang mahu dicapai tetapi pengalaman bermakna yang mematangkan diri kita.

Sewaktu di ibukota pada penghujung 80an, saya bersama rakan-rakan menyewa banglo lama Seksyen 12, Petaling Jaya. Kongsi ramai-ramai untuk tampung kos hidup belajar dengan biasiswa sebanyak RM3300 setahun. Bapa kerja bendang yang luasnya sekangkang kera untuk dikongsi makan anak isteri. Bapa hanya hantar duit belanja ala kadar. Kebanyakan kawan-kawan serumah begitulah latar belakang keluarga kami.

Sambil itu, bapa mengajar di surau atau masjid-masjid. Seusai pengajian, dapatlah sampul berisi duit sepuluh atau dua puluh ringgit. Untung jadi Melayu ada hak-hak keistemewaan yang termaktub dalam perlembagaan. Ada biasiswa, keistimewaan Melayu dan macam-macam. Agama Islampun terpelihara dengan perlembagaan dan juga enakmen di peringkat negeri.

Mengajar agama perlu ada tauliah dari Sultan kerana baginda adalah ketua agama bagi negeri-negeri Melayu. Bukan semua lulusan agama boleh mengajar. Tanpa tauliah, benar mana sekalipu ajaran yang disampaikan, di sisi undang-undang adalah salah.

Untung juga jadi bukan Melayu, hidup lebih berdikari. Sampul mereka berkeping-keping kertas ungu. Meski tiada keistimewaan dalam perlembagaan, mereka sentiasa istimewa ketika kerajaan mahu membuat sebarang keputusan penting.

Kemiskinan keluarga kami seperti menyatu padukan kami dalam rumah tarbiyah. Kami solat berjemaah dan makan guna talam. Setiap minggu ada usrah bagi mengikat ukhwah dan membentuk fikrah.

Memasak ikut giliran. Seminggu sekali. Sebab kami ada 14 orang. Masa itulah belajar masak sendiri. Universiti membuka pintu kehidupan bermasyarakat.

Regu memasak saya, Rashid belajar Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya. Jurusan ini mengkaji tingkahlaku dan tabiat masyarakat. Nama-nama sarjana seperti Ibnu Khaldun, Malek Bennabi, Max Weber, Karl Marx dan lain-lain mesti dalam senarai rujukan. Masa itu saya tidak minat jurusan itu.

Ketika itu, minat saya dalam bidang geografi. Antara pensyarah saya ialah Prof Dr. K.T Joseph, Prof Dr. Shamsul, Dr. Hamidin Ithnin, Dr. Jamilah Arifin, Dr. Sothi Rachagan, Dr Khairulmaini, Dr Fauza dan lain-lain. Seingat saya, pada masa itu ada geografi fizikal, kemanusian, topografi, ekonomi dan penduduk. Bidang geografi sekarang sudah meluas. Salah satu cabangnya ialah Geo Politik yang saya ajar sewaktu di Universiti Teknologi Petronas. Memang ngam sekali bidang itu dengan saya. Satu bidang yang mengkaji bagaimana politik mampu mengubah sempadan-sempadan politik dan negara demi pengekalan kuasa.

Apabila tiba giliran kami memasak, menunya jarang sangat berubah. Takut buat menu baru. Menu kami setiap hari Khamis ialah masak singgang dan tempe goreng atau tumis bayam. Beli bahan mentah di pasar basah di PJ Old Town. Sekarang tempat itu seperti sudah hilang tapaknya. Peredaran waktu yang mengubah persekitaran di situ.

Saya ambil Geografi dan Pengajian Islam. Tahun pertama ambil Ekonomi tapi tahun dua, tinggalkan jurusan itu. Setelah berkelana dalam dunia akademik dan politik, fokus saya berubah. Betul Usman Awang kata, ‘kita dipisah-pisahkan oleh passport, visa, wilayah’. Akan sampai waktunya, kita satukan semua ilmu-ilmu yang dipecah-pecah dengan satu kefahaman yang lebih luas dan bermakna. Hanya waktu sahaja untuk kita sampai ke titik persefahaman itu.

Terima kasih kawan-kawan saya kerana memiliki tulisan-tulisan daripada karya saya meski ada di kalangan kami tidak lagi sehaluan dalam soal politik kepartian. Jika berkerat rotan berpangkal arang kerana berbeza parti politik adalah suatu yang naif sekali. Apatah lagi jika berbeza kelab bolasepak, tarikat, menu kegemaran dan artis pujaan.

muhaiminsulam.blogspot.com