Malaysia Dateline

Bersama ‘berteduh’ di bawah khemah besar pembangkang bawa aspirasi rakyat

Ketika berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Melaka baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menzahirkan harapannya agar semua parti pembangkang dapat bersatu dan menyokong satu sama lain untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Beliau seterusnya menyeru agar ‘khemah besar’ pembangkang dibina, yang menyatukan semua parti pembangkang demi mengalahkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Istilah ‘khemah besar’ juga digunakan oleh Majlis Presiden PH sebelum ini, dalam kenyataan bertajuk ‘Khemah Besar PH untuk Pulih Kembali Demokrasi Berparlimen’.

Kenyataan itu antara lain menyebut bahawa PH akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan khemah besar untuk menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

Majlis Presiden PH turut menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong dalam rencananya sebelum ini juga pernah menyebut: “Setelah genap setahun rampasan kuasa Sheraton, sudah tiba masanya buat semua seteru (Perdana Menteri) Muhyiddin berganding bahu dan berusaha memenuhi harapan rakyat untuk mendatangkan kepemimpinan yang berwibawa, berempati dan didorongi sains dan fakta.”

Berdasarkan kenyataan-kenyataan itu, boleh dikatakan bahawa kata kuncinya adalah perpaduan. Perpaduan itu perlu berlaku dalam kalangan parti pembangkang merangkumi PH dan juga parti-parti lain yang berkongsi aspirasi sama, iaitu memperjuangkan untung nasib rakyat.

Ini lebih-lebih lagi ketika negara kini sedang dibelenggu pandemik Covid-19 yang telah memberi impak bukan sahaja kepada kesihatan malah ekonomi rakyat. Rakyat memerlukan pihak yang cakna, peka dan prihatin terhadap permasalahan mereka.

Dengan dukungan semua parti pembangkang, khemah besar tersebut dapat menawarkan tempat kukuh bagi rakyat meletakkan harapan mereka demi negara yang demokratik, menjaga kebajikan dan memiliki tadbir urus yang baik.

Kesatuan parti-parti pembangkang ini dapat memastikan gabungan itu boleh bergerak sederap bersama dalam mendepani pilihan raya umum akan datang dan sekali gus menjanjikan kemenangan.