Malaysia Dateline

Bersama menuju ke Arafah

[ Artikel ini ditulis bersempena hari Arafah pada 9 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 19 Julai 2021. Saban tahun ibadah haji dikerjakan oleh umat Islam. Ini merupakan tahun kedua umat Islam di luar Arab Saudi tidak mengerjakan ibadah haji angkara pandemik Covid 19. Ini bukan artikel sejarah tetapi artikel yang menjadikan sejarah haji sebagai kerangka buat kita keluar daripada pandemik yang telah mengorbankan 7019 jiwa warga negara kita.

Nabi Adam AS mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail AS dan kemudiannya ditukar kepada seekor kibas adalah lambang pengorbanan terbesar seorang pemimpin. Pemimpin tanpa mengira parti, pertubuhan atau kelompok wajib menghayati sejarah besar Nabi Ibrahim A.S ini dari sekadar bersaing kuasa di Putrajaya.]

Mukadimah

Sabda Nabi Muhammad SAW antara lain yang bermaksud, ‘Haji itu berada di Arafah’. Meninggalkan Arafah adalah meninggalkan ibadah haji. Pada hari Arafah, kita semua yang mengerjakan haji berhimpun di Arafah. Samada sihat atau sakit. Tidak kira berkemampuan atau tidak.

Setelah berniat untuk mengerjakan haji di miqat yang ditentukan, ibadah haji harus diteruskan. Yang capik datang bertongkat, yang buta beraba-raba, yang tuli leka bertanya, yang kecil terambin lintang, yang jarak tolak-tolakan, yang pendek bertinjau-tinjau. Pergerakan harus bergerak.

Kita tinggalkan tanah air, kita tinggalkan Madinah, kita tinggalkan bendera, marga, mazhab, kelas, parti dan juga Kaabah untuk menuju ke Arafah. Lembah yang sempit yang kosong tiada binaan atau petanda yang boleh memisahkan antara kita. Sempadan-sempadan yang wujud hanyalah ciptaan imaginasi kita semata-mata. Tinggalkan sebentar Putrajaya untuk hari ini. Hari memikir dan berdoa.

Kita sarungkan tubuhkan dengan bendera putih, kibarkan panji putih di bawah khemah putih. Ini bukan pengorbanan tetapi ini adalah titik mula perjalanan untuk korban yang besar. Mekah, Madinah atau apa jua kota bukanlah tempat ibadah haji. Ia hanyalah stesyen awal sebelum kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Putih adalah lambang penyerahan kepada kekuasaan Allah SWT. Putih adalah lambang kasih sayang. Putih adalah lambang kebersihan. Kita bawa mesej itu di tengah-tengah padang Arafah yang melaut manusianya.

Kerana di Arafah kita menghampiri zat Allah SWT daripada baitulLah yang didirikan oleh Nabi Ibrahim AS dengan batu-batu bukit. Arafah lebih dekat dengan Maha Pencipta alam dan Maha Penyayang. Bersama menuju ke Arafah bermakna kita akan meninggalkan Mekah. Meninggalkan segala kesombongan dan keangkuhan dunia. Meninggalkan Putrajaya dan segala kota material dan kuasa.

Kita berhimpun di Arafah hanya seketika sahaja. Kita tidak boleh statik di sini. Kita dalam perjalanan dan perjuangan yang masih belum selesai. Arafah bukan matlamat kita. Sebagaimana Kaabah bukan juga matlamat kita. Kewujudan manusia adalah kemanusiaan yang bergerak. Manusia yang statik adalah manusia yang mati. Sebagaimana juga Putrajaya, bukan matlamat kita.

Berhimpun di Arafah adalah satu peringkat kepada suatu perjalanan bani Adam yang diberikan rezeki oleh Allah SWT. Berhimpun di Arafah bukan penamat seperti di berada di kemuncak Jabal Rahmah. Itulah kemuncak di mana bertemunya kembali Adam dengan sang pencintanya, Hawa setelah dihumban keluar dari pintu syurga angkara iblis yang laknat.

Arafah ini adalah kesedaran buat kita. Satu pengalaman dan pengetahuan tentang kehidupan manusia. Bahkan Arafah adalah sains kehidupan manusia yang mentabdir muka bumi ini. Pengajaran nabi Adam AS adalah iblis adalah musuh yang nyata. Iblis yang menjadi penghulu para malaikat sombong kewujudannya. Iblis berbangga dengan bangsa, marga, parti, mazhab dan keturunannya.

Suara Iblis dari lidah mulut Hawa bagi melembutkan kebijaksanaan dan ketegasan Adam AS terhadap larangan Allah SWT memakan buah yang berperisa kebahagiaan yang panjang. Adam AS tewas dengan bujukan kasih sayang Hawa. Keterlanjuran Adam A.S melanggar larangan di syurga membawa mereka berdua ke syurga dunia. Iaitu alam sebenar. Realiti tanah air kita sebagai sebuah negara berbilang kaum menuntut mulut dan lidah yang merapatkan jurang perbezaan. Bukan yang menambah minyak pada api yang mekar membakar. Siapa Hawa di sisi kita pada saat ini. Hawa yang di syurga atau Hawa yang terhukum di dunia?

Terpisah jauh dari rahmat Tuhan adalah satu bala yang tidak tertanggung oleh makhluk yang beriman. Bertahun derita terpisah dan hidup sendiri di dunia yang sangat asing. Akhirnya kembali Adam dan Hawa bersatu di bawah payung kasih sayang di dalam dunia yang realiti di puncak Jabal Rahmah. Kini peringkat Adam AS dan Hawa hidup sebagai manusia sejati yang memiliki keluarga dan anak-anak demi kelangsungan generasi manusia di muka bumi sebagai khalifah.

Seterusnya Adam AS dan Hawa tinggalkan juga padang Arafah. Tinggalkan Bukit Rahmah yang menjadi lambang cinta. Adam AS dan Hawa adalah khalifah di muka bumi ini. Inilah amanah Tuhan kepada semua segala keturunan Adam AS dan Hawa. Memakmurkan dunia dengan ayat-ayat Tuhan. Membasahi bumi Tuhan dengan kedinginan bait-bait suci Tuhan.

Kita tinggalkan Arafah untuk satu destinasi lagi dalam melengkapkan kehidupan sebagai manusia yang beriman. Bukan Arafat tidak penting, kepentingannya hanya pada waktu yang ditentukan oleh Tuhan. Patuhi segala aturan dan ajaran Nabi Ibrahim AS sejak zaman berzaman.

Arafah adalah permulaan hidup Adam AS sebagai manusia yang insaf, lebih bertanggungjawab dan menggunakan bahasa aqidah, syariat, ilmu, kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dalam menjalani hidup sebagai manusia yang memimpin. Hawa adalah pengikut dan teman setianya. Lidah dan mulut Hawa yang menjerumus mereka berdua ke dunia mula berbahasa sebagaimana bahasa Adam AS. Bahasa manusia di mukabumi. Bahasa yang dapat difahami. Bukan bahasa retorik bersalut ayat-ayat suci tetapi kosong dengan makna.

Perbezaan antara Adam AS dengan Hawa adalah titik mula membentuk asas kehidupan sosial yang lebih besar dan meluas. Kegagalan memahami perbezaan antara anggota masyarkat akan menjerumus manusia ke lembah pertelingkahan yang tidak sudah-sudah. Pertelingahan siapa Perdana Menteri, siapa pemenang, siapa berkuasa hanya membunuh kedamaian hidup masyarakat. Arafah adalah pintu kepada kesedaran hidup bernegara seperti di tanah air kita.

Kerana itu, Hawa adalah percikan pertama kepada Adam AS tentang perbezaan antara dirinya dengan pasangannya. Kefahaman dari percikan ilmu, kesedaran, kebebasan dan kasih sayang inilah yang diperolehi di Arafah. Wuquf di Arafah bermula dari mentari mula bersinar hingga terbenam di ufuk barat. Wuquf bermakna berhenti. Kita tidak boleh selama-lamanya di sini. Memenuhi falsafah manusia yang hidup, manusia perlu bergerak terus. Menuju keredhaan Tuhan.

Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita semua rakyat Malaysia yang terpisah kampong halaman, terpisah keluarga, terpisah kasih sayang di hari Arafah ini. Amin.