Malaysia Dateline

Bersama merdekakan negara daripada tembok perkauman

ULASAN: Tahun ini genap 62 tahun Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah yang telah menjajah negara selama 446 tahun. Apabila laungan “Merdeka” dilaungkan oleh Bapa Kemerdekaan Negara Tunku Abdul Rahman, kita akhirnya berjaya bebas untuk mentadbir, mengurus, dan memajukan negara sendiri tanpa campur tangan kuasa asing.

Walaupun negara secara zahirnya bebas daripada penjajah lebih 6 dekad, namun negara masih lagi dibelenggu oleh tembok perkauman yang dibawa oleh pihak-pihak tertentu. Mereka saban hari memainkan isu-isu perkauman demi memenuhi kepentingan mereka dan juga kelangsungan survival politik mereka. Sudah pasti, politik sebegini berlawanan dengan aspirasi negara ini yang diasaskan hasil daripada perpaduan yang dicapai daripada pelbagai kaum, bangsa, dan agama.

Tanpa kita sedari, tembok perkauman yang sedang giat dibina ini mampu membawa negara yang kita cintai ini ke lembah kehancuran. Apabila tembok perkauman ini semakin menebal, maka rakyat yang berbilang kaum dan agama tidak lagi boleh bertolerasi dan menghormati antara satu sama lain.

Inilah yang berlaku di negara-negara lain seperti di Nigeria, Ethiopia, Mali, Sudan, Sri Lanka, dan banyak lagi negara yang mempunyai penduduk pelbagai etnik dan agama. Tembok perkauman yang dibina ini akhirnya mengakibatkan berlakunya konflik etnik yang meruncing sehingga berlakunya perang saudara yang mengakibatkan ribuan orang awam terkorban.

Marilah kita bersatu padu meruntuhkan tembok perkauman ini dan mengukuhkan semula perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia ini. Kita perlu menolak usaha-usaha pihak tertentu yang terus memainkan agenda perkauman demi kelangsungan dan kepentingan politik mereka.

Marilah bersama-sama kita menghayati contoh tauladan yang terbaik iaitu Nabi Muhammad S.A.W sebagai ikon perpaduan apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj apabila baginda berhijrah ke Madinah. Inilah konsep Islam Rahmatan lil Alamin yang dibawa oleh kerajaan pada hari ini iaitu Islam menganjurkan perpaduan dan kasih sayang tidak kira kaum atau etnik dan bukannya membawa agenda perkauman yang mampu memecah-belahkan negara.

Perlembagaan negara yang menggariskan hak setiap warganegara dan kaum di negara ini harus dijunjung sebagai satu sosial kontrak rakyat pelbagai kaum. Kini adalah masa rakyat bersatu padu menjiwai kemerdekaan sebenar dengan menumpukan agenda lebih besar memajukan negara ini berdasarkan konsep kemakmuran bersama (shared prosperity).

Kerajaan hari ini memberikan komitmen tertinggi menyelesaikan hutang negara dan isu rakyat. Kestabilan politik dan perpaduan rakyat mengatasi tembok perkauman akan menarik minat pelaburan asing yang kini mencecah RM667.5 bilion bagi suku kedua tahun ini yang merupakan 10 % peningkatan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Raikan kemerdekaan dengan mengangkat politik nilai dan menolak politik identiti. Sayangi Malaysiaku dengan menumpukan agenda perubahan dan bersama memecahkan tembok perkauman supaya Malaysia Bersih dapat dibina untuk kemakmuran bersama seluruh rakyat negara ini.

Inilah kemerdekaan sebenar yang perlu dicapai sepertimana yang disebut tokoh terkenal Mahatma Gandhi “Complete independence will be complete to the extent of our approach in practice to the truth and non violence.”

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

* Faiz Fadzil merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH dan Adun Permatang Pasir