Bersama sokong Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu

Bersama sokong Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu
Satu wacana umat Melayu dinamakan 'Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu' dijangka akan diadakan pada April depan.-Foto sekadar hiasan.

Alhamdulillah, kini Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dalam proses usaha untuk menganjurkan suatu kongres yang dinamakan “Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu”, dijadualkan pada 20-21 April ini.

Ia dianjurkan bersama dengan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Institut Darul Ehsan (IDE), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ikatan Persuratan Melayu (IPM) dan Ziarah Karyawan Nusantara (ZKN).

Persediaan sudahpun dimulakan beberapa bulan lalu dan sambutannya alhamdulillah menggalakkan. Suatu Dialog Pra-Kongres pun sudah dibuat sebulan lalu dengan pembentangan oleh Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan Dr Muhammad Alinor Ab Kadir. Satu lagi Dialog Pra-Kongres akan diadakan pada bulan Februari, insya Allah.

Ada orang bertanya apakah ini Kongres Kebudayaan kedua selepas Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 dahulu? Jawabnya bukan. Ini bukan kongres budaya yang membincangkan langkah-langkah memajukan seni-budaya seperti Kongres Kebudayaan Kebangsaan dulu itu.

Kongres Budaya ini tidak hanya membincangkan hal-hal seni-budaya tetapi membincangkan langkah-langkah bagi memajukan bangsa Melayu dengan mengambil pendekatan Budaya.

Ia merupakan alternatif kepada Kongres Ekonomi Bumiputera, iaitu membincangkan langkah-langkah bagi memajukan orang Melayu tidak hanya dengan ekonomi dan politik, tetapi juga dengan mengambil kira faktor budaya.

Inisiatif ke arah menganjurkan kongres ini timbul apabila PAKSI

memikirkan keadaan orang Melayu yang dikatakan masih ketinggalan dalam banyak bidang kemajuan yang telah dicapai dalam negara ini sendiri, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

Pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak Kerajaan Malaysia yang pro-Melayu dan diterajui orang Melayu sendiri melalui parti politik Umno selama lebih 61 tahun sejak Merdeka 1957, dengan membelanjakan wang berbilion-bilion, tetapi masih tidak mencapai tahap kemajuan yang sepatutnya itu. Mengapa?

Memikirkan permasalahan itu PAKSI berbincang dengan rakan-rakan cendekiawan dalam Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) termasuk Prof Emeritus Shaharir Mohd Zain dan Dr Mohd Alinor Ab Kadir. Kami merumuskan dan percaya bahawa masalah utamanya ialah kerana usaha dan ikhtiar pimpinan kita selama ini mengabaikan faktor budaya orang Melayu.

Kita selama ini hanya percaya dan berikhtiar dengan mengambil pendekatan politik, ekonomi dan kewangan sahaja; dan selalu mengabaikan malah meremehkan faktor budaya. Kajian para sarjana dan cendekiawan kita menunjukkan bahawa faktor budaya adalah amat penting.

Dan inilah yang hendak kita bincangkan dalam kongres yang kita namakan “Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu” ini. Kongres ini tidak akan membincangkan bagaimanakah kita hendak memajukan sastera atau teater Melayu misalnya, tetapi akan membincangkan apakah faktor-faktor budaya yang boleh membantu memajukan orang Melayu, dan apakah pula faktor budaya yang boleh menghalang orang Melayu daripada mencapai kemajuan.

Kita sengaja sebut “bangsa Melayu” pada tajuk atau nama kongres ini. Ada sebabnya. Kita perhatikan banyak tanda menunjukkan orang Melayu menjadi bimbang dan takut hendak menyebut ‘bangsa’ Melayu kerana bimbang dikaitkan dengan perkauman.

Disebabkan ada sebutan kaum Cina dan kaum India, maka orang Melayu pun pernah ditegur supaya jangan menyebut ‘bangsa’ Melayu, kerana itudianggap akan menimbulkan prasangka perkauman.

Orang mungkin menganggap remeh akan hal tersebut tetapi kami melihatnya sebagai satu faktor yang menyumbang kepada krisis identiti dan hargadiri orang Melayu.

Malah ada orang mempersoalkan mengapa tidak melibatkan sama kawan-kawan Cina dan India menyertai kongres ini, sebagai peserta biasa dan juga sebagai pembentang makalah? Maka kami di pihak urusetia penganjur pun membincangkannya.

Kesimpulan kami biarlah sekali ini kita orang Melayu sahaja berbincang mengenai masalah kita orang Melayu. Ini masalah “rumah tangga” kita, yang kita menghadapinya selama puluhan tahun dan kita masih belum dapat mengatasinya.

Memang. Ini eksklusif masalah orang Melayu. Orang bukan Melayu di negara ini khasnya Cina dan India tidak mempunyai dan tidak menghadapi masalah ini. Mereka telah maju (walaupun ada juga yang tidak). Kita orang Melayu yang belum maju.

Tanyalah Perdana Menteri yang berpengalaman lebih 22 tahun memerintah negara dan masyarakat di negara ini, dan kini memerintah lagi bagi pusingan kedua; dan dia pun masih merintih-meratap akan masalah orang Melayu yang dia sendiri pun gagal mengubahnya dalam usahanya memajukan negara ini.

Kita melihat dia begitu sekali yakin bahawa bahasa Melayu (yang kita anggap jiwa bangsa Melayu itu) tidak layak untuk membawa orang Melayu menjadi bangsa yang pandai dan maju; maka dia sanggup membelanjakan berpuluh billion ringgit agar orang Melayu belajar menjadi pandai berbahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa jiwa kita sendiri.

Apakah dia betul dalam tindakan pimpinannya itu? Kita dan para sarjana kita dan cendekiawan kita membuat kajian dan mendapati keyakinannya itu tidak betul; namun dia tetap berdegil mengatakan pandangannya itulah yang betul. Dan ini sudah menjadi pengetahuan umum.

Okey, tak mengapalah hal itu. Kita balik kepada pokok perbincangan kitamengenai Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu yang kita rancang mengadakannya 20-21 April ini.

Seperti dikatakan tadi, sambutan sehingga ini sangat menggalakkan. Ini kongres yang timbul daripada bawah, daripada gerakan rakyat, yang sehingga ini sudah beberapa bulan bergerak tanpa sebarang sumber dana.

Ada pihak kerajaan yang berminat untuk bersama menganjurkan dan mendanainya. Tetapi kita belum memutuskan untuk bersama dengan pihak berkenaan kerana sebab-sebab tertentu. Makanya kita juga belum dapat menetapkan di manakah kongres ini akan diadakan. Kita masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak yang berminat.

Maka saya mengambil kesempatan di ruang ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang telah memberi komitmen dan yang menyatakan minat untuk bersama. Kami masih mengalu-alukan dan mengharap banyak lagi pihak yang tampil untuk bersama menjayakan kongres rakyat ini.

Sila hubungi kami melalui fesbuk kami – Shamsudin Osman atau Kassim Muhamad atau Mohamed Nasser. Sama-samalah kita berusaha bagi memajukan bangsa Melayu.