Bersatu adakan  pemilihan jawatankuasa setiap peringkat bermula 25 Januari hingga April depan
Tan Sri Syed Hamid Albar

Bersatu adakan pemilihan jawatankuasa setiap peringkat bermula 25 Januari hingga April depan

Buat pertama kalinya, Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyaksikan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk Sayap-Sayap Srikandi dan Armada bermula April depan.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar menerusi satu kenyataan hari ini.

Syed Hamid memaklumkan, ahli-ahli yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat Bahagian termasuk Srikandi dan Armada hendaklah mendaftarkan pencalonan kepada petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti di pejabat Bahagian masing-masing pada 13 Januari 2020 (Isnin) dari jam 9 pagi hingga 2 petang sempena hari Pendaftaran Pencalonan.

“Jika ketiadaan Pejabat Bahagian, Jawatankuasa Pemilihan Parti akan menetapkan lokasi untuk Pendaftaran Pencalonan dalam waktu terdekat.

“Ahli-ahli parti yang yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat Cawangan termasuk Srikandi dan Armada tidak perlu mendaftarkan pencalonan masing-masing.

“Mereka mestilah telah berdaftar sebagai ahli parti yang sah dan telah menjelaskan yuran tahunan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019 atau ahli seumur hidup.

“Bagi Armada pula, hanya mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah pada 1 Januari 2019 yang layak menghadiri persidangan dan bertanding bagi jawatan-jawatan dalam Sayap tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang terpakai,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama hari ini, Syed Hamid turut menerangkan tentang konsep persidangan yang akan berlangsung nanti.

“Persidangan Cawangan-Cawangan akan memilih Jawatankuasa Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Bahagian di mana Cawangan-Cawangan tersebut berada.

“Persidangan Cawangan hendaklah didahului oleh Persidangan Srikandi Cawangan dan Persidangan Armada Cawangan yang akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Armada Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada Bahagian masing-masing.

“Persidangan Bahagian-Bahagian akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi yakni barisan kepimpinan parti di peringkat Pusat.

“Persidangan Srikandi dan Persidangan Armada Bahagian pula hendaklah diadakan sebelum Persidangan Bahagian. Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada Malaysia,” katanya lagi.

Syed Hamid menambah, semua cawangan dalam sesuatu Bahagian hendaklah bersidang pada tarikh yang sama dalam tempoh bagi Persidangan Cawangan yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Menurut beliau, tarikh persidangan ditentukan oleh Bahagian setelah berunding dengan Cawangan-Cawangan.

Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijadualkan berlangsung antara 25 Januari hingga 1 Mac 2020 manakala Persidangan Bahagian-Bahagian Bersatu pula dijadualkan berlangsung serentak di seluruh negara pada 4 April 2020.

Ahli-ahli disarankan untuk menyemak status keahlian masing-masing dalam senarai keahlian yang bakal dipamerkan di pejabat-pejabat Bahagian dan Cawangan bermula 7 Januari 2020 hingga 12 Januari 2020.

Jawatankuasa Pemilihan Parti hanya akan mengiktiraf senarai ahli-ahli yang layak hadir ke Persidangan Cawangan yang dikeluarkan oleh Ibupejabat Parti yang disahkan oleh Setiausaha Agung Parti.