Malaysia Dateline

Bersatu akan adakan Mesyuarat Khas Pinda Perlembagaan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat khas bagi meminda perlembagaan parti itu pada 20 Julai hadapan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan yang dibincangkan akan menentukan bagaimana ahli biasa dalam Bersatu dapat memainkan peranan dalam parti.

“Pindaan itu telah dibincang secara panjang lebar (ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu) dan akhirnya kita bersetuju tentang bagaimana (meminda) parti kita.

“Pindaan akan dilakukan kepada perlembagaan supaya ahli biasa dapat memainkan peranan dalam menentukan pemilihan Jawatankuasa cawangan dan jawatankuasa bahagian.

“Dari bahagian, perwakilan akan menentukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti. Kita ambil masa yang panjang,” katanya ketika sidang media Mesyuarat Tertinggi Bersatu, hari ini.

Mahathir turut berkata, setiap ahli yang berdaftar juga mempunyai hak untuk bertanding setiap jawatan dalam Bersatu menerusi pindaan yang akan dimuktamadkan

Jelasnya, ahli yang mahu dan berminat perlu secara sukarela untuk bertanding dalam pemilihan parti dan merupakan ahli yang berdaftar dalam Bersatu.

“Mereka perlu berdaftar sebagai ahli sebelum boleh bertanding untuk jawatan Presiden, Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan sebagainya,”katanya.