Malaysia Dateline

Bersatu akan jadi parti teladan

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat menjadi entiti yang mengamalkan pengurusan terbaik yang boleh dicontohi masyarakat pelbagai peringkat.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu itu berkata beliau yakin pelaksanaan amalan kepimpinan terbaik dan nilai-nilai nilai murni secara tidak langsung boleh dicontohi rakyat negara ini.

“Saya yakin yang akan menukar sifat-sifat yang buruk dan menerap sifat-sifat yang baik bermula dengan parti Bersatu. Kitalah contoh, kitalah yang akan jadi teladan.

“Kalau dahulu kita bercakap berkenaan kepimpinan melalui teladan, hari ini kita bercakap mengenai parti Bersatu adalah teladan dan contoh bagi negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini hari ini.

Memberikan contoh perhimpunan agung tahunan Bersatu selama tiga hari yang berakhir hari ini, beliau berkata parti itu memberikan kebebasan kepada perwakilan untuk melontarkan pandangan dan kritikan kepada kepimpinan parti.

Beliau berkata kepimpinan parti pula sedia ditegur jika teguran berkenaan bertujuan untuk kebaikan parti dan kerajaan.

Tegasnya tiada guna diadakan perhimpunan jika perwakilan tidak dibenarkan menyentuh topik-topik tertentu seperti diamalkan oleh sesetengah parti lain.

“Saya lihat apabila parti itu melarang perbahasan menyebut perkara tertentu, akhirnya mereka hancur berkecai. Itulah hasil percubaan mengekalkan diri dengan tidak ditegur,” katanya.

Merumuskan perhimpunan parti pada sidang media kemudian, Dr Mahathir berkata beliau berpuas hati dengan kualiti perbahasan perwakilan yang memberikan pandangan serta kritikan terhadap pucuk pimpinan.

“Banyak nasihat yang bagus diberikan oleh pembahas dan begitu juga dengan jawapan balas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi. Banyak perkara dapat diperjelaskan menerusi penggulungan dan saya rasa keseluruhannya perwakilan nampak berpuas hati dengan mesyuarat dan pencerahan yang diberikan,” katanya.

Dr Mahathir juga menggesa perwakilan agar mengambil langkah meningkatkan keanggotaan Bersatu yang akan membantu keputusan pilihan raya pada masa akan datang.