Bersatu akan kemuka cadangan ke RoS berkaitan mesyuarat agung parti

Bersatu akan kemuka cadangan ke RoS berkaitan mesyuarat agung parti

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan masalah berkaitan perlembagaan parti dan akta pertubuhan dalam waktu terdekat bagi membolehkan parti itu melaksanakan Mesyuarat Agung pertamanya.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan parti itu dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menjelaskan perkembangan terkini berkaitan dengan struktur parti di setiap peringkat penubuhannya.

“Kita telah ambil kesempatan menjelaskan status parti daripada awal penubuhan sampai ke fasa terkini dan saya telah menyebutkan
bahawa kita masih dalam peringkat penubuhan.

“PPBM itu sendiri belum lengkap proses penubuhannya yang mana masih lagi berjalan diperingkat cawangan dan bahagian.

“Kita minta RoS memahami perkara ini melalui persefahaman bersama kita akan laksanakan segala arahan dari segi perlembagaan parti dan undang-undang pertubuhan,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Putrajaya hari ini.

Pertemuan Bersatu dengan RoS ini susulan kenyataan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, setelah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri yang memaklumkan kelewatan RoS meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) ekoran berpunca daripada PPBM dan DAP.

Muhyiddin berkata, pihaknya telah menjelaskan secar terperinci keadaan berlaku dan memaklumkan RoS menerima baik dan bersetuju untuk memberi masa kepada parti itu mengusulkan beberapa cadangan yang sesuai untuk mengadakan himpunan agung dalam situasi yang mana parti itu masih dalam proses pembentukan di peringkat cawangan dan bahagian.

“Cadangan itu akan dikemukan pada RoS dan kedua pihak akan duduk bersama meneliti cadangan yang dianggap sesuai untuk dilaksanakan.

“Ini perkara positif dan menggalakkan respon dariapda RoS. Saya percaya dalam perjumpaan ini semua masalah akan dapat diselesaikan dalam tempoh tidak lama lagi.

“Kita akan hantar surat mengenai bentuk cadangan yang akan kita cadangkan kepada RoS.

“Bagaimana kita nak uruskan mesyuarat agung di cawangan dan bahagian yang mana masih belum terbentuk sepenuhnyalagi. RoS faham situasinya kerana kia baharu tertubuh berbeza dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

Menjawab pertanyaan mengenai PH bersedia dengan kemungkinan pendaftaran Bersatu dibatalkan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sekiranya berhadapan dengan masalah RoS kerana presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah dipetik  berkata perkara itu bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.

Muhyiddin berkata dengan pertemuan hari ini sudah wujud persefahaman antara parti itu dengan RoS.

“Kita harap tidak sampai ke tahap itu. Daripada pertemuan  tadi ada persefahaman .Status kita kekal dari segi undang-undang (parti sah ditubuhkan). Isunya sekarang untuk laksanakan kehendak-kehendak dalam perlembagaan parti dan akta pertubuhan kerana parti baharu perlukan sedikit masa dan kita akan cadangkan untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya yang akan bertemu RoS mengemukakan cadangan daripada parti itu dalam masa terdekat ini.

 

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES