Malaysia Dateline

Bersatu anggap surat Presiden Umno beri implikasi besar

Tanpa menyatakan secara jelas hubungan dengan Umno, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya memandang serius terhadap kandungan surat Presiden Umno pada 26 Februari lalu.

Hamzah berkata, surat tersebut mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama pada masa hadapan antara Umno, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam hal ini, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di sebuah hotel di Putrajaya selama tiga jam.

Mesyuarat itu ekoran surat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam kenyataan sama, Hamzah juga berkata Bersatu berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Muhyiddin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Selain itu, parti yang mempunyai dukungan 31 ahli Parlimen itu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mempertahankan aspirasi kerajaan PN.

Pada 15 Februari lalu, satu perjumpaan khas antara Umno, Bersatu dan Pas diwakili lima pemimpin tertinggi setiap parti diadakan.

Dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin meminta Umno supaya membuat pendirian jelas berhubung kedudukan kerjasama dengan Bersatu sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU-15.

Sehubungan itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lalu dan keputusan MKT sebulat suara untuk Zahid mengutuskan surat kepada Muhyiddin bagi menyatakan keputusan MKT.

Kerajaan PN yang terbentuk selepas Langkah Sheraton hanya mempunyai sokongan 109 ahli Parlimen pada masa ini dengan Umno hanya meneruskan kebersamaan sehingga pembubaran Parlimen.

Susulan kenyataan terbaharu Bersatu itu, hubungan meruncing dengan Umno yang mempunyai 39 kerusi Dewan Rakyat dilihat tidak menemui jalan penyelesaian.

Penolakan akar umbi dan pemimpin tertinggi Umno untuk bekerjasama dengan Bersatu itu diramal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU-15.

Ketika Pas bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) tetapi pada masa sama dilihat mesra Bersatu, situasi berebut kawasan majoriti pengundi Melayu melibatkan ketiga-tiga parti itu sukar dielak.

Pada 5 Januari lalu, Muhyiddin selaku Pengerusi PN melantik Pas menerajui empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN.

Senarai pelantikan terbabit diumum selepas 189 daripada 191 Bahagian Umno menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Malah, Umno sebelum ini turut memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.