Malaysia Dateline

Bersatu bahagian Pengkalan Chepa terus beri sokongan kepada kepimpinan parti

Sokongan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pengkalan Chepa tidak tergugat walaupun wujud beberapa isu semasa dan pergolakan dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Ketua Bersatu Pengkalan Chepa, Ahmad Nas Ruddin Abdullah berkata sehingga kini Bersatu bahagian itu mempunyai 3,600 orang keahlian berbanding 300 orang ahli setahun lepas.

“Jumlah keahlian sentiasa bertambah setiap masa dan kita mempunyai 32 Pusat Daerah Mengundi (PDM). Daripada jumlah itu, sebanyak 25 cawangan mempunyai sekurang-kurangnya 15 orang ahli jawatankuasa (AJK) yang memegang pelbagai jawatan dalam PDM itu.

“Sebahagian besar atau 65 peratus daripadanya adalah kumpulan Srikandi yang mana rata-ratanya adalah muka baru dalam dunia politik tanah air,” katanya kepada pemberita di Majlis Wacana Ilmu Srikandi Kelantan bersama isteri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek iaitu Dr Hamidah Tuan, anjuran Pertubuhan Masyarakat Pengkalan Chepa (PMPC) di sini hari ini.

Ahmad Nas Ruddin berkata walaupun kebanyakan ahli masih “hijau” dalam dunia politik namun masing-masing menunjukkan keikhlasan serta kesungguhan dalam memperkukuhkan kedudukan parti, dan menurutnya kebanyakan mereka mempunyai sekurang-kurangnya latar pendidikan yang mampu membantu masyarakat setempat bila diperlukan.