Bersatu berhajat jadi sebahagian kerajaan, kata Dr Mahathir

Bersatu berhajat jadi sebahagian kerajaan, kata Dr Mahathir

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini masih lagi menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyatakan pendirian untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk jika Umno-BN tumbang pada Pilihan Raya akan datang.

Bekas perdana menteri yang juga pengasas Bersatu; Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno hari ini tidak lagi sama seperti dahulu.

“Bersatu berhajat jadi sebahagian daripada kerajaan di negara ini dan perlu berlawan dengan Umno.

“Umno sekarang bukan macam Umno dulu. Umno sekarang hanya terhad kepada memperjuangkan nasib Datuk Seri Najib.

“Apabila beliau sendiri pernah berkata, kita perlu setia pada kepimpinannya. Itu sahaja yang dikehendakinya daripada ahli Umno.

“Malah saya dapati mereka di peringkat bahagian dan wakil rakyat tidak menolak kehendak Datuk Seri Najib, mereka tidak berani untuk kata ‘perlu setia pada parti bukan presiden’.

“Saya keluar kerana ia tidak lagi sebuah parti Umno.Terpaksa saya memisahkan diri daripada parti yang tidak tentu haluannya ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan hari ini.

Sidang media ini adalah yang pertama diadakan bersama Dr Mahathir selepas jawatankuasa penaja menghantar permohonan ke RoS pada 10 Ogos lalu dan selepas beliau keluar daripada menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya lagi, pemimpin boleh datang dan pergi tetapi kesetiaan dan perjuangan parti perlu diberikan keutamaan berbanding seorang pemimpin yang kini memburukkan imej negara.

“Jika seorang pemimpin dituduh dengan pelbagai tuduhan yang memburukkan imej negara, terkini Jabatan Kehakiman AS membuat kenyataan bahawa wang 1MDB diseleweng anak tirinya.

“Tetapi ada pula orang kata Malaysian official number one yang dimaksudkan DoJ itu yang dipertuan agung pula, Betulkah? Sedangkan DoJ kata anak tiri kepada Malaysian Official Number One, Reza Aziz.

“Jelas sekali dalam usaha nak ambil hati nak ampu, nak dapat dedak mungkin, maka dibuat tuduhan tidak masuk akal sama sekali.

“Saya dapati penyokong Najib menjerit-jerit tetapi mereka tak boleh jawab,” ujarnya merujuk kepada isu  Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad yang berdolak dalik dalam kenyataan bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai “Malaysian Official 1” seperti dimuat naik dilaman facebooknya baru-baru ini.

Turut hadir dalam sidang media ini, barisan jawatankuasa penaja Bersatu antaranya bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir,Umno Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin, Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman, pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ketua Umno Cawangan Bendang Baru, Akhramsyah Sanusi.

Dalam majlis ini juga turut hadir Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan Tan Sri Sanusi Junid.

TAGS