Bersatu beri masa sebulan kepada Pas

Bersatu beri masa sebulan kepada Pas

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi tempoh sebulan kepada pemimpin Pas untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan ataupun tidak, kata pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi tempoh sebulan kepada pemimpin Pas untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan ataupun tidak, kata pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata walaupun perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan Pas susulan pertemuan kedua-dua parti pada 1 Februari lepas, keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi seterusnya.

“Kalau Pas tak nak masuk (Pakatan Harapan) pun, terpulanglah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri wacana Bersatu-DAP di Alor Setar semalam.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyatakan kekesalan terhadap Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan bertemu dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai perkara itu.

Pada 1 Februari lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.

Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.

Setakat ini pakatan pembangkang masih menunggu hasil positif kerjasama ini bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu diadakan dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14)

TAGS