Malaysia Dateline

Bersatu bimbang, ada pihak cuba keruhkan hubungan kaum

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan semasa hubungan antara agama dan kaum di dalam negara ketika ini.

“Hubungan yang sepatutnya diperkukuh, seolah-olah dicarikkan dengan sengaja dan tidak sengaja,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan

Katanya, ada yang sengaja menangguk di air keruh untuk kepentingan politik dengan agenda yang tidak relevan sekiranya rakyat negara ini sehati sejiwa.

“Maka mereka sengaja mengapi-apikan perpecahan agar mereka nampak juara. Cara mereka ini menyebabkan ada rakyat yang bertindak sendiri merosakkan keadaan.

“Ada yang tidak sengaja kerana memilih masa dan tempat yang salah untuk menyuarakan komen atau pandangan dalam isu yang bukan prioriti. Mereka terlupa bahawa niat yang baik tidak boleh menjadi justifikasi cara yang silap,” katanya.

Tegasnya, rakyat seharusnya bersatu dalam memberi keutamaan kepada agenda memajukan ekonomi, perkongsian kekayaan yang adil, menjaga kebajikan rakyat, dan pemantapan institusi bukannya menimbulkan isu yang hanya melemahkan agenda perubahan.

“Jika kita fokus kepada agenda memajukan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, maka kematangan akan bertapak secara semulajadi dalam minda rakyat, lantas membolehkan pelbagai isu diperdebat dengan lebih sihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar satu pendekatan yang lebih tersusun perlu diwujudkan untuk membina rakyat yang mempunyai minda terbuka dengan memerlukan strategi dan naratif yang dilaksanakan oleh semua pihak secara koheren.

“Tun Dr Mahathir sudah lama bercakap mengenai pentingnya perubahan nilai dan sikap. Dalam buku Malay Dilemma, perkara ini dibincangkan dengan mendalam.

“Bagi saya, nilai-nilai progresif dan jiwa merdeka yang Tun Mahathir sebutkan perlu diwar-warkan oleh semua agar kita benar-benar memimpin ke arah perubahan dan bukan responsif semata-mata. Pemimpin sikapnya memimpin, bukan hanya mencerminkan sikap semasa,” katanya.