Malaysia Dateline

Wan Mohd Shahrir

Bersatu Pahang cadang jentera pilihan raya digerakkan bersepadu di PRK Semenyih

Dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Bersatu Pahang mencadangkan agar jentera Pakatan Harapan bergerak secara bersepadu bagi memastikan kekalahan dalam PRK Cameron Hinghlands tidak berulang sekali lagi.

Pengerusi Bersatu Pahang Wan Shahrir Wan Abd Jalil berkata, dengan melakukan pembahagian kawasan kepada parti ia sebenarnya melemahkan gerak gempur dalam kempen yang dilakukan oleh jentera parti.

“Saya cadangkan dalam mana-mana PRK akan datang, Pakatan Harapan perlu turun secara ‘total warfare’.

“Maksud saya dari soal kewangan, perlicinan proses jentera pilihanraya, hingga mengerakkan unit di Pusat Daerah Mengundi, perlu disepadukan dan tidak boleh di bahagi-bahagikan secara kawasan ikut siapa yang berpengaruh.

“Jika tidak unit gempur, media dan peraih undi tidak akan bergerak selari,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca kekalahan calon Pakatan Harapan M. Manogaran pada PRK Cameron Hinglands Sabtu lepas.

Wan Shahrir yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi,  berkata, faktor calon bukan Melayu menjadi antara punca kekalahan PH.

“DAP perlu melihat faktor Melayu luar bandar dan cara mereka berfikir, dikawasan majoriti Melayu.

” Dalam politik kita perlu pragmatik. Jika ingin kekalkan kerusi DAP, sepatutnya perlu diletak calon Melayu di CH kerana Melayu-Islam merupakan majoriti.

“Jika kita diibaratkan seperti seorang jurujual.Kita perlu peka dengan kehendak pengguna.Jelas, calon  bukan Melayu bukanlah profil yang tepat untuk memerangi BN,Umno dan Pas di kubu mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengharapkan pandangannya itu tidak disalahfaham oleh rakan dalam Pakatan Harapan. Ini kerana sebelum ini Armada Bersatu Pahang pernah mengusulkan  dalam Konvensyen Bersatu agar pucuk pimpinan PH mempertimbangkan wakil daripada parti itu untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands. Tetapi  cadangan itu dibantah Pengerusi DAP Pahang yang menegaskan pembahagian kerusi parti komponen PH di Cameron Highlands itu milik DAP.

“Saya tetap akan sokong dan beri segalanya demi PH.  Saya secara peribadi tidak ada masalah dengan calon DAP, tetapi rekod DAP bertanding tiga kali di CH sebelum ini  sudah memberi gambaran profil macam mana yang pengundi  mahukan,” katanya.

Tambah beliau lagi, jentera Bersatu yang diletakkan di Dun Jelai ditugaskan menggerakkan anggotanya  di 3 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Pos Betau, Koyan 2 & 3 dan Kuala Medang.

Katanya, walaupun Dun Jelai berjaya mengurangkan majori BN, tetapi perkara itu tidak berlaku di Tanah Rata.

“Saya hairan bila di Tanah Rata bukan Melayu juga memihak kepada BN. Ini sesuatu ‘soul searching’ yang PH perlu lakukan.

“Mesej dari rakyat pelbagai, mungkin disebabkan protes terhadap kos sara hidup, mereka menghantar mesej supaya kerajaan juga perlu pragmatik dalam menangani masalah ekonomi dan sara hidup rakyat. Boleh jadi juga kaum Cina mereka lebih pragmatik dan mereka tahu kekalahan PH di Cameron Highlands tidak akan mengubah kedudukan kerajaan,,” ujarnya.

Pada PRK Cameron Highlands  Sabtiulepas BN mempertahankan kerusinya  selepas calonnya, Ramli Mohd Nor meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.

Pada PRU14, Datuk C Sivarraajh daripada BN berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi.

Calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.

PRK Cameron Highlands ini menyaksikan juga majoriti besar BN meningkat kepada 3,238 berbanding pada PRU14 majoriti tipis  diperoleh BN  597 undi.