Bersatu cuba satukan Tun M, Muhyiddin dan Mukhriz kembali

Bersatu cuba satukan Tun M, Muhyiddin dan Mukhriz kembali

Majoriti ahli Bersatu mahukan pucuk pimpinan parti kembali bersatu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau menggesa ahli parti mendesak dan merayu pemimpin atasan untuk berdamai dan kembali bekerjasama.

Menurutnya, Bersatu terbina atas kekuatan tiga tokoh utama iaitu Tun Mahathir; Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir.

“Saya harap kita berhentilah mengeluarkan kenyataan atau menganjurkan majlis yang tidak membawa perdamaian.

“Tidak perlulah pergi ke media tempatan atau antarabangsa untuk meruntuhkan parti. Kita selesaikanlah secara dalaman dengan semangat satu keluarga,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu berkata, dalam keadaan sekarang menganjurkan majlis solat hajat dan munajat mendoakan penyatuan kembali pemimpin parti adalah lebih baik.

“Dalam pertemuan hari Jumaat lalu (6 Mac), YAB Tan Sri Muhyiddin berkata beliau telah cuba mengatur pertemuan dengan Tun Mahathir.

“Beliau juga telah menghantar surat kepada Tun Mahathir memohon untuk bertemu. Hanya menunggu tarikh dari Tun Mahathir sahaja. Kita doakan agar Tun Mahathir sudi bertemu secepat mungkin,” kata Wan Saiful lagi.

Bersatu mempunyai 36 Ahli Parlimen termasuk 10 yang melompat daripada PKR baru-baru ini.

Pada 23 Februari lalu, Bersatu membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Kemelut kepimpinan Bersatu di peringkat pusat menyaksikan tiga pemimpin iaitu Dr Mahathir, Mukhriz dan Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menyokong Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.