Malaysia Dateline

Bersatu dan Warisan di blok bebas: AMANAH sedia bekerjasama

AMANAH menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan Perikatan Nasional kata Presidennya, Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu hari ini yang mengumumkan akan duduk sebagai blok bebas di Parlimen.

Gerakan itu dipercayai selepas Pakatan Harapan terus menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan Plus seperti opsyen pertama yang dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini.

PH terus berpegang untuk mencalonkan Anwar selepas PKR menolak opsyen kedua yang menamakan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan sebelum menyerahkannya kepada Presiden PKR itu.

Bagaimanapun, ketika ini Bersatu dan Warisan memilih untuk mencalonkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas nama Ketua Menteri Sabah itu dibangkitkan dalam satu pertemuan tidak rasmi baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Bersatu turut memaklumkan membuat keputusan kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen dan tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Bersatu akan meneruskan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan menentang usul menggantikan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Susulan pengumuman enam MP Bersatu Berprinsip diketuai Tun Dr Mahathir untuk bergerak sebagai blok bebas bersama Warisan dan kekal melawan PN, AMANAH sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan pintu belakang PN demi kepentingan rakyat,” kata Mohamad dalam satu siri hantaran Tweetnya hari ini.