Malaysia Dateline

‘Bersatu di tempat duduk pemandu, Umno sebagai abang besar bimbang’

Sebarang kerjasama yang mungkin dilakukan antara Bersatu dan Umno, hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja, kata pemerhati politik Kim Quek.

Beliau berkata, tidak mungkin kerjasama itu akan bertahan, apatah lagi berjaya.

“Gabungan Perikatan yang bekerjasama pada saat-saat akhir pada satu tahun yang lalu di antara Bersatu, Pas dan Umno adalah untuk satu tujuan iaitu merebut kuasa dari Pakatan Harapan.

“Sekarang, Bersatu yang kecil sudah berada di tempat duduk pemandu dengan semua kuasa yang ada. Umno sebagai abang besar sememangnya bimbang.

“Seiring berjalannya waktu, Bersatu akan bertambah besar dan kuat sementara pengaruh Umno akan berkurang,” katanya yang juga penganalisis politik dan undang-undang.

Sementara itu Kim Quek berkata, Umno tidak mempunyai pilihan lain selain perlu bekerjasama dengan gabungan lain sekiranya mahu bertahan dan berkembang maju.

Beliau juga mengingatkan bahawa pemimpin dan ahli Umno perlu melihat suasana politik secara serius dengan mengambil kira dengan siapa mereka boleh bekerjasama untuk berhadapan pilihanraya.

“Cari siapa di antara kumpulan berkuasa yang boleh bekerjasama untuk mewujudkan bukan sahaja kuasa memerintah, tetapi juga kejayaan jangka panjang untuk negara,” tambahnya lagi.