Malaysia Dateline

Bersatu digesa perjelaskan peranan kembalikan JPP kepada Ketua Bahagian dan Cawangan

PArti AMANAH Negara (AMANAH) mahukan penjelasan lanjut daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai cadangan mengembalikan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi membolehkan Ketua Bahagian dan Cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir,dipetik berkata penjelasan itu penting supaya apa yang dicadangkan itu tidak sama dengan budaya politik wang yang diamalkan kerajaan terdahulu.

Katanya, parti dalam PH amat memerlukan penjelasan terutama bentuk bagaimana JPP itu mahu diwujudkan dan fungsinya

“Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih jelas untuk kepentingan rakyat bukan perjuangan untuk individu atau mana-mana parti politik,” katanya seperti dilapor NSTP semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, supaya JPP dikembalikan fungsinya bagi membolehkan sumber kerajaan digunakan untuk mempertahankan kuasa yang ada.

PAda Ahad Abdul Rashid mencadangkan peranan JPP perlu dikembalikan supaya sistem itu dapat memanfaatkan ketua Bahagian dan ketua Cawangan parti itu supaya mereka dapat ‘memulangkan’ semula faedah yang diperoleh demi kebaikan masyarakat setempat.

Katanya, dengan mengembalikan semula peranan JPP, segala projek pembangunan dapat disalurkan kepada ketua bahagian dan ketua cawangan.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, beliau mungkin setuju jika JPP itu diwujudkan bagi mengurangkan kebuntuan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri terutama di negeri yang ditadbir pembangkang.

Katanya, pada masa ini kerjasama sukar dibentuk, malah dalam isu pemilihan ketua kampung menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pun masih belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya kerana dilihat berat sebelah dan ada yang masih tergantung keputusannya.

“Perkara ini boleh diteliti dan bincang antara parti komponen dalam PH kerana selepas menang pilihan raya kita mahu hubungan dan kerjasama pentadbiran Persekutuan dan Kerajaan Negeri berjalan dengan baik demi kepentingan rakyat walaupun kedua-dua kerajaan berbeza kuasanya.

“Apa yang penting, hak rakyat tidak akan tersisih dan mendatangkan kerugian kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.