Malaysia Dateline

Bersatu dulu tolak Umno, sekarang khianati PH

Salah seorang daripada lima pemimpin Bersatu yang telah digugurkan keahlian mempersoal ke mana hala tuju parti tersebut.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sebahagian pemimpin Bersatu lantang menuntut penghapusan rasuah dan menolak Umno ketika dalam perhimpunan agung parti.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, ujarnya, pihak yang sama membentuk gabungan baru iaitu Perikatan Nasional (PN) sekali gus mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

“Apa sudah jadi dengan politik Malaysia hari ini?

“Maka, soalan yang penting untuk kita fikirkan bersama ialah:

“Ke manakah hala tuju parti harini? Bagaimana parti ini mahu digerakkan kembali? Apa sebenarnya sebab paling asas parti ini ditubuhkan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Amiruddin yang juga bekas pemimpin Pas menyifatkan mereka diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden

“Barangkali mereka di sana itu kian terlupa atau buat-buat lupa,” tempelak beliau yang telah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah pada Mei 2016 sebelum menyertai Bersatu.

Mengulas kemasukannya ke dalam Bersatu selepas 17 tahun bersama Pas, Amiruddin berkata, keputusannya itu demi mendukung semangat dan prinsip parti untuk menjunjung tinggi sistem demokrasi, mempertahankan agama dan memperkasa bangsa.

“Paling utama ialah berjanji setia untuk menolak rasuah secara total, melawan salah guna kuasa dan membina budaya baharu dalam urus tadbir negara dan mencorak naratif politik yang lebih segar buat Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata, sebahagian besar ahli Bersatu sarat dengan pengalaman dalam politik kepartian walaupun usia parti tersebut baharu.

“Ketika saya menyertai Bersatu pada November 2017 yang lalu, ianya sudah pasti merupakan suatu keputusan yang paling besar dalam hidup saya.

“Kita mahukan membersihkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, memperkasa kedaulatan undang-undang, mereformasikan institusi dan fokus membasmi kemiskinan rakyat.

“Kita juga sangat komited khususnya MP Bersatu untuk memperkasa nasib orang Bumiputera,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Amiruddin menyifatkan Bersatu hari ini berbeza seperti yang diharapkan sebelum ini apabila memilih untuk bersama PN.

“Kerajaan PN ditubuhkan melalui jalan yang kita sukar untuk fikirkan. Pakatan-pakatan politik yang hanya inginkan kuasa, dibina dan digerakkan secara diam.

“Sebahagian daripada kita juga, menjadi watak utamaya,” bidasnya lagi yang turut mengimbas kedudukan Bersatu yang dilihat sebagai parti alternatif pilihan orang Melayu pada PRU-14 lalu.