Bersatu fail petisyen cabar keputusan PRU14

Bersatu fail petisyen cabar keputusan PRU14

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di empat kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun.

Menurut Setiausaha Biro Perundangan Mior Nor Haidi kerusi yang ditandingi atas tiket PKR melibatkan parlimen Tasek Gelugor, Bagan Serai, Jempol dan Tapah.

Manakala tiga Dun yang terlibat adalah Lubok Merbau dan Changkat Jong di Perak, dan Kahang, Johor.

Mior Nor Haidi berkata petisyen berkenaan difailkan pada Selasa dan Rabu oleh pasukan peguam Bersatu di negeri-negeri terbabit.

Petisyen difailkan atas alasan peraturan mengenai pilihan raya dan perjalanan pilihan raya yang adil tidak dipatuhi, kesalahan pilihan raya dilakukan oleh responden yang dinamakan dan kecuaian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan proses pengundian yang bersih dan adil dilaksanakan.

“(Bersatu) berharap serta berdoa agar satu keputusan yang menyebelahi kesemua pempetisyen dapat diputuskan oleh mahkamah semata-mata bertujuan untuk pilihan raya kecil (PRK) dapat dijalankan dengan seberapa segera yang mungkin bagi memperkukuh kedudukan Pakatan Harapan, baik sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri,” kata Mior Nor Haidir sebagaimana dipetik The Malaysian Insight.

 

CATEGORIES
TAGS