Bersatu gagal dapat kebenaran halang RoS bubar sementara parti

Bersatu gagal dapat kebenaran halang RoS bubar sementara parti

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi menghalang Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim  (gambar) daripada menggunakan peruntukkan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 untuk menyekat Bersatu sebagai parti politik yang sah.

​Hakim Datuk Kamaludin Md. Said dalam keputusannya berkata, tidak dipertikaikan bahawa pemohon menyatakan pihaknya telah mematuhi notis di bawah Seksyen 14(2) kerana telah mengemukakan dokumen yang dikehendaki.

“Pada pendapat saya oleh kerana permohonan untuk mencabar notis di bawah Seksyen 14(2) tidak lagi menjadi isu atau menjadi suatu yang akademik maka permohonan untuk mencabar jika ada, perlu dikemukakan mengikut Seksyen 14(5).

“Surayati yang dinamakan sebagai pihak responden telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara di bawah Seksyen 14(5).

“Saya menyatakan bahawa prosedur untuk membuat rayuan bagi mengesahkan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak responden berhubung perintah sementara di bawah Seksyen 14(5) boleh dikemukakan mengikut Seksyen 18(j) iaitu kepada menteri.

“Pada pandangan saya ini adalah isu yang berbeza yang memerlukan permohonan yang berlainan untuk mencabar kesahihan keputusan pihak responden ketika mengeluarkan perintah sementara tersebut,” ujar Hakim Kamaludin seperti dilapor Utusanonline.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Bersatu memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan permohonan yang baharu.

Permohonan itu sebelum ini difailkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh selaku pihak pemohon pada 6 April lalu.

Bersatu turut memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 2 April lalu tidak berasas untuk mengeluarkan sebarang perintah pembubaran terhadap Bersatu  dengan menyalahgunakan seksyen tersebut bagi menghalang parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Surayati pada 5 April lalu mengesahkan pembubaran sementara PPBM menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan ekoran kegagalan PPBM menyerahkan sepenuhnya dokumen yang diperintahkan di dalam tempoh yang diberikan sebelum ini.

Pembubaran Bersatu dibuat, kira-kira sejam sebelum Hakim Datuk Azizah Nawawi mendengar prosiding semakan kehakiman Pakatan Harapan bagi mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi di sini supaya RoS mendaftarkan parti tersebut sebagai pertubuhan berdaftar.

CATEGORIES
TAGS