Bersatu Gombak beri amaran kepada komplot rosakkan nama baik Azmin

Bersatu Gombak beri amaran kepada komplot rosakkan nama baik Azmin

Bersatu Gombak yakin fitnah yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan video yang ditular di media sosial berniat jahat bagi mematikan karier beliau sebagai ahli politik.

Ketua Bahagiannya, Muhammad Nizam Abd Lah Sani berkata fitnah tersebut merupakan langkah terdesak bagi melemahkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan yang terbukti melaksanakan amanah dengan cukup memberangsangkan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Seluruh saf kepimpinan Bersatu Bahagian Gombak ingin menzahirkan sokongan penuh kepada YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami yakin politik pengecut dan kotor ini tiada tempat di hati rakyat yang hidup dalam era Malaysia Baharu.

“Bersatu Bahagian Gombak memberi amaran sekeras-kerasnya kepada individu, kumpulan atau parti yang berkomplot dalam usaha merosakkan nama baik YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan menggunakan taktik sekeji ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Muhammad Nizam menyifatkan gutter politics yang diamalkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu hanya akan mencacatkan proses pembangunan serta pembinaan semula negara yang hampir musnah di tangan kepimpinan kerajaan terdahulu.

“Kami tidak takut dengan tindakan pengecut yang cuba mengancam keharmonian Pakatan Harapan dan akan terus melawan demi membela nasib dan mengangkat martabat rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Bersatu Gombak, jelasnya, menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) agar segera melaksanakan tugas bagi membawa isu tersebut ke muka pengadilan serta memulihkan semula imej Azmin.