Malaysia Dateline

Bersatu, GPS bincang kes Ali Biju

Kedudukan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Ali Biju akan dibincangkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Menurut Ali Biju, beliau telah menafikan bahawa telah bersetuju untuk memberi laluan dengan menyerahkan kerusi DUN Krian kepada Parti Demokratik Progresif (PDP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini.

Katanya, sebagai penyandang kerusi DUN Krian sejak 2011 dan sehingga kini, beliau tidak pernah bersetuju untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada PDP seperti yang telah dinyatakan oleh Friday Belik baru-baru ini.

“Friday tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata sedemikian atau mengulas sama ada saya akan mempertahankan jawatan saya atau melepaskannya kerana beliau bukan pemimpin dalam GPS dan tidak mempunyai sebarang hak untuk bercakap bagi pihak GPS atau Ketua Menteri.

“Malah, penyokong dan sebahagian besar pengundi saya telah menegaskan bahawa saya diperlukan untuk terus berkhidmat untuk mereka dan seluruh kawasan Krian mahu mempertahankan kerusi itu.

“Dan sebarang keputusan mengenai saya untuk terus mempertahankan kerusi DUN Krian hanya akan dibincangkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari,” tegas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Saratok.

Bagaimanapun, semalam Abang Johari telah pun mengumumkan Friday Belik sebagai calon GPS dari PDP untuk bertanding di kerusi DUN Krian.

Dengan pengumuman itu, bermakna harapan Ali Biju mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ketiga pada PRN12 kali boleh dikatakan sudah pun tertutup.